Odeon KL Bangkit Semula Sebagai Hab Seni & Muzik, Barbarik Jadi Artis Pembuka Tirai
Salah satu panggung wayang tertua dan paling ikonik di Malaysia, Odeon KL, kini kembali meniti era baharu selepas hampir satu abad mengekalkan sejarahnya sejak 1936. Terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya beberapa minit dari Stesen LRT Bandaraya dan Monorel Medan Tuanku, Odeon KL kini sedang melalui proses penaiktarafan menyeluruh bagi menghidupkan kembali ruangnya sebagai pusat seni persembahan, muzik dan budaya.
Projek transformasi ini diurus sepenuhnya oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd di bawah pimpinan Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin, dengan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk pembangunan 10 tahun. Antara penambahbaikan termasuk sistem bunyi dan akustik bertaraf profesional, bilik persalinan artis selesa, ruang logistik produksi, kemudahan parkir, laman Odeon untuk aktiviti komuniti dan surau untuk pengunjung.

Menurut Mozylir, pembangunan ini bukan sekadar memulihara bangunan warisan, tetapi juga membuka peluang kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat. “Kami ingin menjadikan Odeon KL bukan sahaja sebagai pusat seni berprestij tetapi juga destinasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.



Sebagai penanda sejarah baru, kumpulan rock tanah air Barbarik, yang terdiri daripada Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol, dipilih untuk membuat persembahan pertama di pentas Odeon KL yang dinaik taraf. Konsert bertajuk “Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL” dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025, dengan kapasiti kehadiran dijangka mencecah 2,500 peminat.

Pemilihan Barbarik bukan sahaja berdasarkan reputasi mereka dalam dunia muzik keras, tetapi juga kemampuan mereka untuk menguji sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. Kejayaan mereka dalam siri konsert Peluru Cokelat pada Jun lalu serta sokongan luar biasa komuniti Rejim Barbarik turut menjadi faktor penentu.
Mozylir menambah, “Selepas melihat sambutan hebat peminat sehingga tiket habis terjual di Zepp KL, kami yakin kolaborasi ini akan berterusan di masa hadapan.”
Dengan transformasi ini, Odeon KL bukan sekadar kembali bernafas sebagai bangunan bersejarah, tetapi juga bakal menjadi pusat seni, muzik dan budaya yang progresif, inklusif, dan relevan untuk generasi baharu.
