February 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nyoman Paul Kenang Sahabat dalam Single Terbaharunya ‘Alunan Mimpi’

Spread the love

Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Nyoman Paul telah melancarkan single terbarunya berjudul “Alunan Mimpi” sebagai penghormatan kepada mendiang sahabatnya. Lagu ini terinspirasi daripada sebuah mimpi yang dialaminya, di mana beliau merasakan kehadiran sahabatnya yang telah meninggal dunia.

Menurut Nyoman Paul, mimpi tersebut membawa perasaan yang sukar digambarkan, dan beliau berusaha menterjemahkannya dalam bentuk melodi serta lirik yang menyentuh hati. “Saya pernah bermimpi tentang mendiang sahabat saya. Namun, seperti yang kita tahu, dalam mimpi, mesej yang ingin disampaikan tidak selalu jelas. Jadi, saya cuba mengabadikannya dalam lagu ini sebagai satu kenangan persahabatan kami,” katanya.

“Alunan Mimpi” merupakan single kelima Nyoman Paul selepas kejayaan lagu hitnya, “Tunggu Apa Lagi”. Lagu ini dicipta dengan kerjasama S/EEK, Rahman Sadli Waraiya, dan Clara Riva, membawa nuansa muzik era 2000-an yang penuh nostalgia. Diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia, lagu ini menampilkan susunan pop rock yang sederhana tetapi penuh emosi, menjadikannya enak didengar.

Selain melodi yang menyentuh perasaan, lagu ini turut mendapat perhatian kerana video liriknya yang istimewa. Nyoman Paul melibatkan Ni Putu Helena Ayu Waringin atau lebih dikenali sebagai Helena, anak kepada mendiang sahabatnya, dalam pembikinan video tersebut. Video lirik itu disunting menggunakan rakaman oleh Ni Nyoman Reni Ari Diantini, ibu Helena dan balu kepada mendiang sahabat Nyoman, menjadikannya lebih bermakna dan emosional.

“Saya mahu melibatkan mereka kerana mereka adalah insan yang kuat, dan saya berharap kekuatan mereka boleh menjadi inspirasi buat kita semua,” kata Nyoman Paul.

Video lirik “Alunan Mimpi” dihasilkan oleh You Know Who Film dengan David Christover sebagai Director of Photography. Nyoman Paul berharap lagu ini bukan sahaja menjadi kenangan buat dirinya dan keluarga sahabatnya, tetapi juga memberikan makna kepada para pendengar yang pernah mengalami kehilangan.

Lagu “Alunan Mimpi” kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital, manakala video liriknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Nyoman Paul.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page