September 7, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nusafest 2023 Tampilkan Wings, Search dan Butterfinggers

2 min read
Spread the love

Dua kumpulan ikon rock tempatan, Search dan Wings bakal beraksi di pentas festival Nusafest yang akan berlangsung pada 8 dan 9 Julai ini di Bandar Malaysia.

Datuk Amy menyatakan keterujaannya dan meminta peminat sama-sama mendoakan supaya semuanya berjalan dengan teratur dan lancar.

“InsyaAllah, kalau semuanya ‘terletak’ dengan cantik dan dapat persetujuan bersama, segalanya akan berlaku,” ujarnya sewaktu sidang media mengumumkan 3 ‘headliners’ Festival Nusafest di Hotel Royal Chulan Damansara pada 27 Jun lalu. Selain Amy, Search turut dianggotai Hillary Ang (gitar), Nasir Daud (bass) dan Man Kidal (gitar).

Sementara itu, pemain dram Wings, Black turut teruja untuk tampil di pentas yang menggabungkan pemuzik dan budaya tiga negara itu.

“Selepas sekian lama Wings dan Search tidak beraksi bersama, akhirnya kami akan tampil di sini. Kami berbangga kerana Shiraz Projects Sdn Bhd mengiktiraf kami untuk beraksi di pentas yang menggabungkan tiga negara ini,” katanya.

Selain Black, Wings turut dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Edrie Hashim (gitar), Sham (gitar) dan Eddie (bass).

Sementara itu, penganjur dari Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim berkata, objektif utama pembabitan kedua-dua kumpulan rock itu adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara mereka.

“Saya rasa kena ada seseorang yang tampil dan mengambil langkah untuk mengeratkan tali silaturahim antara kedua-dua kumpulan ini. Itu objektif utama. Mereka ada kumpulan peminat mereka tersendiri untuk membantu dari segi penjualan tiket,” ujarnya.

Selain Search dan Wings, mereka turut disertai satu lagi kumpulan yang memiliki kelompok peminat yang ramai iaitu Butterfingers. Kali terakhir Butterfinggers beraksi di konsert mereka sendiri yang di adakan di Stadium Malawati Shah Alam.
Tidak hanya itu, Nusafest turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Dari Malaysia ialah Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, Iqbal M, White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Ska Cinta dan Monoloque.

Indonesia pula menampilkan Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus dan Ras Muhamad, manakala Singapura pula diwakili Pinholes.

Nusafest menggabungkan karya seni, budaya dan makanan dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page