Nur Fatima Kembali Dengan Single Baharu ‘ Ku Cuba’
Jauh berkelana di Sydney, Australia bukanlah halangan buat penyanyi wanita bersuara lunak, Nur Fatima untuk muncul dengan single terbaharu berjudul ‘KU CUBA’ hasil ciptaan komposer terkenal Sharon Paul dan penulis lirik, Shah Shamshiri, manakala edaran oleh SoundOn.
“Saya bersama suami telah berpindah ke Sydney dari ibukota Australia, Canberra pada awal tahun ini kerana mengikutinya atas urusan kerja. Selain itu, saya juga aktif membuat persembahan bersama band di sekitar Australia,” kata pemilik nama Nur Fatimah Abdul Wahab.
Kali terakhir Nur muncul dengan single baharu kira-kira 3 tahun lalu menerusi lagu Galeri, ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk menghasilkan material baharu, jawabnya,
“Sejak pandemik COVID-19, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan single baharu kerana merasakan genre balada lebih sesuai dengan suara dan pembawakan saya.
“Lagu ini pada awalnya telah dicadangkan untuk dua orang penyanyi dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi ‘power’ sebelum saya, namun pihak pengurusan dan produser muzik sendiri berpendapat ianya lebih sesuai dinyanyikan oleh saya kerana kelembutan tona suara yang saya miliki, dan bait-bait liriknya lebih saya hayati kerana nukilan teman rapat saya iaitu Shah.
Lagu KU CUBA mengisahkan tentang seseorang yang sabar dan tidak berputus asa dengan kekasihnya walaupun menghadapi dugaan yang mencabar dalam hubungan percintaan mereka, jelas Nur, “Lagu ini menceritakan tentang pengorbanan dan kerelaan serta keredhaan dengan apa jua keputusan asalkan kekasihnya bahagia.
“Selain maksudnya, genre lagu ini lebih kearah ‘power ballad’ yang sangat mencabar dengan nada tinggi dan rendahnya, serta mainan emosi yang mendalam agar nyanyian saya sampai ke hati pendengar. Lama juga saya ‘bertapa’ di studio untuk menghayati liriknya sehingga produser, Sharon betul-betul berpuasa hati, terima kasih buat beliau sekali lagi di atas bimbingannya yang sangat berharga.
Peminat Nur yang sudah lama merindui kelibatnya turut disajikan dengan video muzik (MV) istimewa dengan konsep lebih segar dan selari dengan ‘trend’ fesyen masakini, kongsi Nur lagi,
“MV kali ini menunjukkan diri saya yang lebih berekspresi dari raut wajah dengan gaya yang mendayu dibuai perasaan sedih dan sebak di bawah arahan pengarah muda berbakat, Khyrill. “Saya juga berpeluang menggayakan busana indah hasil rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof bersama sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, menghidupkan lagi visual MV lagu ini. Walaupun sudah bertahun lamanya menjadi anak seni, cabarannya tetap ada, kongsi Nur,
“Untuk terus kekal dalam industri ianya sangat mencabar memandangkan persaingan kuat, namun saya tidak pernah berputus asa dan memberanikan diri untuk melakukan kerja-kerja di belakang tabir, dan saya juga mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.
“Saya nasihatkan buat ‘newcomer’ agar utamakan pelajaran dahulu sebelum memilih bidang apa, pelajaran bukan sahaja memberi ilmu tetapi memupuk disiplin, dan yang paling penting sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, harus berani serta jangan cepat berputus asa.
“Saya berharap semoga lagu KU CUBA mendapat sambutan yang baik dari pendengar, menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya serta mengubat kerinduan peminat-peminat saya semua.
Jangan lupa untuk memuat turun lagu KU CUBA di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music serta YouTube Music.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton di laman YouTube Nur Fatima Music, youtube.com/@nurfatimamusic