January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nubhan Lancar Single Baharu Selepas Gegar Vaganza

Spread the love

Selepas mencuri perhatian menerusi program realiti popular Gegar Vaganza 2026, penyanyi bersuara gemersik Nubhan kembali mengukuhkan langkah seninya dengan pelancaran single terbaharu berjudul Andai Derita.

Selepas beberapa tahun tanpa karya rakaman baharu, Andai Derita hadir sebagai naskhah yang mengangkat kisah seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaan yang diberikan dikhianati. Lagu ini tidak menjurus kepada luahan amarah atau dendam, sebaliknya memaparkan sisi cinta yang memilih untuk diam, bertahan dan akhirnya reda.

Menurut Nubhan, lagu ini dihadirkan sebagai teman buat mereka yang memujuk hati dalam senyap. “Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini saya hadirkan sebagai teman untuk mereka yang memujuk hati dalam diam. Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda,” katanya.

Senikata lagu ini turut menampilkan bait-bait puitis seperti “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang”, yang merujuk kepada doa yang tidak pernah terucap, manakala melodinya disifatkan mampu menyentuh hati pendengar yang pernah terluka. Setiap rangkap mengajak pendengar untuk menerima hakikat bahawa tidak semua kesakitan perlu dijelaskan.

https://www.theloftstudio.asia

Terdahulu, Nubhan merupakan antara peserta Akademi Fantasia musim keenam dan mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz dan Toi. Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali menerusi genre pop dan balada Melayu dengan beberapa lagu popular seperti Oh Juwita serta duet bersama Siti Nordiana menerusi Sekali Lagi pada 2021, di samping aktif sebagai usahawan dan pencipta kandungan di media sosial.

Single Andai Derita diterbitkan di bawah edaran label rakaman Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik karya tersebut. Kerjasama ini dilihat sebagai platform strategik buat Nubhan untuk meneruskan perjalanan kerjaya seninya secara konsisten dalam industri muzik tempatan.

Andai Derita kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music bermula 16 Januari 2026, manakala video muzik rasmi dijangka dimuat naik di saluran YouTube Luncai Emas dalam masa terdekat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page