January 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

KRU Pertaruhkan Genre Muzik R&B Era 90an Menerusi Lagu “One More Time

Spread the love

KRU meneruskan legasi muzik mereka sebagai penyanyi/komposer/penerbit (singer/songwriter/producer) tersohor tanahair dengan pelancaran single kedua dari album “Kaset” berjudul “One More Time”. Lagu ini disampaikan dengan penuh emosi oleh KRU membuktikan kematangan Norman, Yusry dan Edry bagi penyampaian vokal dalam sesebuah lagu.

“One More Time” merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry, dan Edry yang mengekalkan DNA muzik R&B KRU era 90-an yang masih menyengat sehingga kini. Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.

KRU juga meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik “One More Time”. Menariknya, melalui video muzik ini peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman emosi yang unik.

Menurut Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd “KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik. Kami percaya  video muzik “One More Time” akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang.”

Sebelum ini, KRU telah mengeluar single pertama dari album “Kaset” berjudul “Voodoo”. “Voodoo” telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan hangat dari negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Muzik video “Voodoo” di YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan telah berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.

“Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu “One More Time”. Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekaligus mengekalkan momentum pemasaran album “Kaset” apabila dikeluarkan tidak lama lagi.” ujar Norman mewakili KRU.

“One More Time” boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music mulai 17 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi YouTube, Instagram, TikTok, dan Facebook KRU.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page