Nourul Tunda Konsert Solo, Pilih 30 Mei Demi Peminat
Demi memastikan persembahan terbaik buat peminat setianya, penyanyi terkenal, Nourul mengambil keputusan menunda tarikh konsert solo sulungnya, For You Nourul ke 30 Mei 2026.
Konsert yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 itu dijadualkan semula selepas perbincangan bersama pihak penganjur baharu, ND Entertainment.
Menurut wakil ND Entertainment, keputusan berkenaan dibuat bagi memberi laluan kepada dua perayaan utama umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha selain memberi ruang kepada peminat membuat persiapan sewajarnya selepas musim perayaan.
“Kami percaya pemilihan tarikh 30 Mei 2026 sangat sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu For You Nourul menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana lebih selesa dan meriah,” katanya.
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab berkata, perubahan tarikh berkenaan turut memberi kelebihan dari segi perancangan produksi serta penyusunan barisan artis jemputan.
“Penukaran tarikh ini dibuat bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kerana Terluka itu optimis konsert yang dirancang sejak sekian lama itu bakal mencipta momen indah bersama peminat yang setia menyokong perjalanan seninya selama lebih tiga dekad.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM198 – Sehati Sejiwa, RM298 – Cinta Azali, RM328 – Keliru, RM388 – Kerana Terluka dan RM6,000 – VIP Box
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.
