September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Nostalgia’ Kembalikan Sweet Charity Ke Malaya

3 min read
Spread the love

Teks Oleh: Sakka E

Mereka masih berdiri walau tak berlari, mereka berehat bukan tenat, dewasa umur tak mudah undur bahkan tidur dengkur tersungkur dibantal hilang nyalinya.

13 tahun dahulu kali terakhir aksi mereka di sini, kini Sweet Charity bakal kembali, bakal mencipta satu lagi sejarah di dada Kuala Lumpur, bandaraya yang penuh nostalgia sentimental yang teramat istimewa buat kumpulan yang berasal dari Kota Singa ini.

Konsert Semalam Di Malaya, Lima Dekad Sweet Charity, menjanjikan suatu kelainan, kejutan dan momen yang sememangnya tidak mungkin dilepaskan oleh para peminat kumpulan lagenda yang pernah mengangkat martabat muzik nusantara sewaktu irama 60an berada di penghujungnya.

Datuk Ramli Sarip selaku vokalis dan tonggak utama kumpulan ini bersama Rosli Mohalim di posisi gitar utama, Rahman Sarbani di posisi drum dan Ahmad Jaafar (A.J) di posisi keyboard dan penyanyi latar, mengumpamakan lamaran ini bagai pucuk dicita ulam mendatang kerana mereka sendiri rindu untuk kembali bersua dengan peminat yang amat dikasihi.

Zepp, Kuala Lumpur lokasi yang menjadi pilihan untuk konsert kali ini amat sesuai bagi melahirkan suasana yang cukup berintimasi antara Sweet Charity dengan peminatnya, ianya berbeza dengan konsert – konsert yang pernah diadakan oleh Sweet Charity yang sering diadakan di Stadium ataupun di lokasi berskala besar. Ini jelas memperlihatkan bahawa Sweet Charity ingin lebih rapat dengan peminatnya.

Konsert yang bakal berlangsung pada 26 Januari 2024, dijangka berlangsung sekitar 2 jam 30 minit ini akan menyaksikan beberapa lagu yang akan diolah dan diberikan susunan khas istimewa untuk konsert kali ini dan antara lagu – lagu yang akan disampaikan terdiri dari lagu – lagu pujaan sepanjang zaman seperti “Teratai”, “Kamelia”, “Batu”, “Zakiah”, “Jangan Lama – Lama” dan banyak lagi. Sweet Charity dan pihak penganjur juga dalam perancangan untuk mengundang beberapa artis popular tanahair, namun ianya masih lagi dalam proses perbincangan dan ianya akan menjadi salah satu kejutan pada malam konsert itu nanti.

Malaysia Ship Owner’s Association (MASA) selaku penganjur utama konsert kali ini yakin Sweet Charity masih berbisa dam masih teguh taringnya dan mensasarkan tiket habis terjual memandangkan rekod 5 dekad kekal dipersada seni tanahair bukanlah sesuatu yang mudah dan ianya pula disokong oleh kejayaan konsert Sweet Charity pada tahun 2011 yang lalu menyaksikan ribuan peminatnya membanjiri Stadium Merdeka bersama kumpulan Blues Gang.

Menurut Encik Helmi Zaharudin, selaku pengurus besar MASA, dengan harga tiket serendah RM180 dan kapasiti lokasi seramai 2500 orang, tidak mustahil konsert ini akan diadakan selama 2 hari, namun ianya masih dalam peringkat perbincangan dan faktor sambutan dari para peminat amat memainkan peranan penting dalam hal ini.

Keterujaan jelas terbayang di wajah setiap anggota Sweet Charity, namun walau apa pun mereka tetap berharap agar dikurniakan kesihatan dan kekuatan mental dan fizikal bagi konsert yang sangat dinanti – nantikan oleh peminat mereka, menurut Datuk Ramli Sarip ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Ideas Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu.

“Mudah-mudahan kami sihat, dapat berikan yang terbaik untuk peminat, juga industri. Lima dekad perjalanan Sweet Charity moga jadi penggalak buat band tanahair, terutamanya pelapis. Kami cuba menghargai apa yang dikurniakan, apa yang dianugerahkan untuk dikongsi”, ujar beliau.

“Bukan saja dalam muzik atau persembahan, tapi juga perjuangan untuk dikongsi sama. Jika boleh jangan ada banyak pertelingkahan antara satu sama lain, mesti bersatu, tapi kalau terjadi juga kadang hal sebegini mengajar kita. Itu yang membuatkan kita terus ada,”tambahnya.

Oleh kerana itu, jika anda peminat tegar Sweet Charity, atau baru pertama kali mendengar nama Sweet Charity, seharusnya anda perlu mendapatkan tiket dengan kadar segera, tak perlu berlengah lagi terus layari laman sesawang www.ilassotickets.com.my untuk memastikan tempat anda di konsert itu nanti. Tiket – tiket dijual dengan harga RM180 (Batu – Free Standing), RM308 (Sejuta Wajah – Normal Seat), RM388 (Zakiah – Premium Seat) dan bermula RM15,000 bagi VIP Box.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page