January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Noryn Aziz Kembali Dengan Single Baharu “Kaki Kiriku”

Spread the love

Penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbarunya berjudul “Kaki Kiriku”, diikuti persembahan istimewa “This Is Noryn Aziz Showcase” yang bakal berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan karya baharu, Noryn hadir dengan sentuhan segar menerusi Kaki Kiriku, hasil ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng, dengan lirik oleh Reza sendiri. Lagu ini menampilkan gabungan unik jazz klasik, joget tradisional serta elemen Parisian jazz, diterbitkan oleh Moonshine Productions dan dihasilkan sepenuhnya oleh Hin Ee Jeng dengan Noryn sendiri bertindak sebagai Eksekutif Produser.

Bagi Noryn, Kaki Kiriku bukan sekadar lagu biasa tetapi sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu dan warisan budaya melalui muzik. Apa yang menjadikan lagu ini lebih istimewa ialah penggunaan tongue twister Melayu dalam liriknya. Menurut Noryn, elemen permainan lidah ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya satu penghargaan kepada keindahan bahasa ibunda yang menyeronokkan, penuh jenaka dan ritma. Beliau mahu generasi baharu menyedari bahawa bahasa Melayu bukan sesuatu yang kaku, sebaliknya hidup dan berjiwa.

Muzik video Kaki Kiriku yang diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim turut menampilkan Noryn dalam busana kebaya, simbol warisan dan keanggunan wanita Melayu. Rakaman dilakukan di Limapulo Terrace, Tong Shin, dengan Noryn tampil anggun dalam rekaan daripada Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo. Bagi Noryn, kebaya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang identiti dan kekuatan wanita Melayu yang melengkapkan konsep lagu yang meraikan budaya Malaysia.

“Kaki Kiriku” juga menjadi sebahagian daripada konsep album terbarunya yang mengetengahkan gabungan joget, jazz fusion dan Parisian jazz, dipadukan dengan elemen moden serta ritma klasik yang tidak lapuk ditelan zaman. Noryn menyifatkan lagu itu sebagai sebuah perayaan terhadap bahasa, budaya dan warisan. Menurutnya, apabila lidah tersasul ketika menyebut liriknya, itu tanda bahawa bahasa Melayu terus hidup dan berkembang, manakala muzik menjadi wadah untuk menjadikannya segar dan relevan.

Tidak terhenti dengan pelancaran single, Noryn turut mengumumkan persembahan eksklusif “This Is Noryn Aziz” pada 19 September 2025. Showcase satu malam itu menjanjikan pengalaman muzik penuh jiwa, menggabungkan jazz, soul dan R&B bersama identiti Malaysia moden. Persembahan tersebut akan membawa peminat menyusuri perjalanan seni Noryn sepanjang beberapa dekad, daripada karya klasiknya hingga gubahan segar termasuk Kaki Kiriku.

“Ini lebih daripada sebuah konsert. Ia adalah kisah hidup saya melalui muzik — tentang cinta, pertumbuhan dan warisan yang membentuk siapa saya hari ini,” kata Noryn. Showcase ini dibahagikan kepada dua babak utama iaitu Jazz & Soul yang akan mempersembahkan lagu-lagu asal daripada album Fantasi Realiti, Alam Maya hingga karya terbarunya, manakala babak kedua bertemakan R&B Celebration dengan seleksi lagu kontemporari serta kolaborasi bersama penyanyi undangan.

Noryn menjelaskan bahawa projek ini lahir daripada keinginan untuk membawa jazz keluar daripada ruang yang dianggap asing atau eksklusif, menjadikannya lebih dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia. Baginya, This Is Noryn Aziz adalah cerminan siapa dirinya sebagai penyanyi, wanita dan anak Malaysia. Showcase tersebut juga digarap sebagai sebuah perjalanan emosi dan budaya yang bukan sahaja memberi makna kepada dirinya, tetapi juga bertujuan membuka jalan kepada generasi baharu khususnya pemuzik jazz tempatan agar lebih berani berkarya meski genre itu dianggap niche.

Dengan kapasiti terhad hanya 500 tempat duduk, showcase ini dijangka menjadi malam penuh intimasi buat peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni Noryn sejak dahulu. Ia bakal menjadi peluang eksklusif untuk menikmati muzik berkualiti, keindahan jazz yang digarap dengan identiti tempatan, serta penceritaan peribadi seorang penyanyi yang terus konsisten memperjuangkan warisan budaya melalui muzik.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page