Nora Kini Ceburi Bidang Perniagaan
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin melakukan sebuah transformasi dalam bidang perniagaan bagi mengukuhkan lagi namanya, dimana jenama Secukup Rasa By Nora memperkenalkan dua produk terbaharu iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa.
Pes masakan Secukup Rasa By Nora adalah merupakan keluaran syarikat Secukup Rasa Empire yang menggunakan tagline ‘Rasa Sekali Rasa Nak Lagi’ itu menawarkan pes yang cukup mudah sekali digunakan oleh golongan berkeluarga mahu pun bujang.
“Ini adalah resepi turun temurun keluarga dimana ianya menggunakan rempah ratus dan bahan-bahan yang segar, proses penghasilkan pes masakan ini dilakukan dengan penuh hati-hati agar kualitinya terjaga dan rasanya juga memuaskan hati pelanggan yang membeli”, ujar Datuk Nora ketika ditemui media sewaktu majlis pelancaran pes Secukup Rasa by Nora di Shah Alam pada 7 Disember lalu.
“Idea menghasilkan pes masakan ini muncul sebelum saya menyambut hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-50 pada Julai lalu. Saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi? Saya juga beritahu pada diri sendiri, pada usia 50 tahun, saya perlu berbuat sesuatu”
“Kebetulan Allah SWT sudah aturkan saya pulang ke Kelantan dan bertemu dengan sepupu saya. Kedua-dua belah keluarga saya memang mempunyai latar-belakang dalam bidang katering secara besar-besaran”, ujarnya
Mempunyai visi untuk memasarkan jenama produknya ke luar negara dengan membawa nama Malaysia sebagai makanan keluaran syarikat bumiputera, Nora berkata, hal itu hanya akan dicapai setelah dia memiliki modal yang besar serta mendapat bantuan daripada agensi kerajaan tertentu.
“Untuk peringkat yang pertama ini, kita hanya tumpukan dahulu pada pasaran Malaysia melalui jualan secara online di platform e-dagang, Shopee. Pembelian secara terus (direct) juga diterima”, tambah beliau.
Di majlis yang sama, Datuk Nora juga turut berkongsi pengalaman berdepan dengan situasi hampir maut apabila berlaku kesilapan teknikal di hospital yang menyebabkan paru-parunya penuh dengan air, malah beliau menganggap ianya adalah kesilapan dan juga merupakan peringatan kepada dirinya supaya merujuk ke tempat yang tepat sekiranya berdepan masalah kesihatan.
“Asalnya, saya hanya demam dan kemudian, bila pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan, saya disyaki dijangkiti denggi. Saya kemudiannya ke hospital dan dimasukkan air dan mungkin berlaku masalah teknikal sehingga menyebabkan berlakunya air berlebihan (overdrip).
“Disebabkan itu, paru-paru saya penuh dengan air dan jadi macam lemas, sekali gus tak dapat bernafas. Mungkin ada kesilapan daripada pihak hospital kerana doktor pun manusia. Yang penting, saya nak sihat. Bila pindah ke hospital lain, saya dijaga oleh tiga pakar.
“Selepas apa yang berlaku, saya jadi lebih beringat. Andai kata ada apa-apa berlaku, pergi ke tempat yang betul. Saya belajar daripada apa yang berlaku, apa yang perlu dan jangan dilakukan,” katanya.
Beliau yang percaya pada rezeki, berharap produk keluarannya akan mendapat sokongan semua pihak dan beliau percaya bila mana ada rezeki untuknya maka akan ada rezeki untuk orang lain.
Orang ramai boleh dapatkan Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa By Nora di platform e-dagang, Shopee melalui pautan: shopee.com.my/noraariffin.os