Nidji Kembali Ke Borneo: Pelangi Di Kuching 2025 Janjikan Malam Sarat Emosi dan Energi

Selepas meraih kejayaan luar biasa di Miri tahun lalu, kumpulan legenda Indonesia, Nidji, kembali ke bumi Sarawak dengan konsert mega yang pastinya akan mencipta satu lagi momen luar biasa buat para peminat. Konsert Nidji: Pelangi di Kuching 2025 dijadualkan berlangsung pada 26 April 2025 di Stadium Perpaduan, Kuching, dengan harapan lebih 5,000 peminat dari seluruh negeri akan memenuhi ruang stadium untuk menyanyikan lagu-lagu ikonik mereka bersama-sama.
Dianjurkan oleh HMK Production dan Coms Creative Studio, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia. Seperti pelangi yang muncul selepas hujan, Nidji hadir membawa sinar warna-warni nostalgia dengan deretan lagu hit mereka.
Bayangkan stadium bergema dengan suara ribuan peminat menyanyikan “Laskar Pelangi,” “Hapus Aku,” “Biarlah,” dan “Sang Mantan” – lagu-lagu yang sudah menjadi sebahagian daripada jiwa peminat muzik di rantau ini. Menurut ZairulAddry Helmi, Pengarah Coms Creative Studio, Nidji akan mempersembahkan 13 hingga 15 lagu dalam tempoh satu jam setengah yang penuh dengan emosi dan semangat.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa. Kami ingin membawa elemen kejutan, termasuk kolaborasi khas dan sentuhan budaya tempatan untuk menjadikannya lebih istimewa,” ujar ZairulAddry.


Selain Nidji, pentas konsert juga akan dihangatkan oleh barisan artis jemputan seperti Bob Yunus, Zah Amirul, The Beretta’s, serta Drama Band. Kemunculan mereka bakal menambahkan lagi warna dan kepelbagaian dalam acara ini.
Peminat Nidji jelas tidak sabar untuk menyaksikan idola mereka secara langsung. Dari 5,500 tiket yang disediakan, lebih 3,000 keping telah terjual dalam tempoh yang singkat. Sokongan padu ini bukan sahaja dari Kuching, tetapi juga dari Miri, Bintulu, Limbang, dan pelbagai daerah lain di Sarawak. Jualan tiket boleh didapati melalui laman media sosial rasmi Pelangi di Kuching 2025, serta booth khas di Sarawak Skills Kuching dan Plaza Merdeka.
Bagi memeriahkan lagi suasana, penganjur turut mengadakan Karnival Pembudayaan Setempat, yang menampilkan lebih daripada 50 gerai menjual makanan tradisional, hasil seni tempatan, dan pelbagai produk unik. Dijangka menjelang acara, jumlah gerai ini akan meningkat kepada 100.


Tidak hanya itu, platform pencarian bakat Sarawak Got Talent juga akan berlangsung sebagai sebahagian daripada aktiviti sampingan. Langkah ini membuka ruang kepada bakat-bakat muda Sarawak untuk menunjukkan kebolehan mereka dan mungkin, menjadi bintang masa depan!
Sejak kemunculan mereka pada 2002, Nidji terus menjadi simbol muzik pop rock Indonesia yang disegani. Walaupun mengalami perubahan dalam barisan anggota, mereka kekal relevan dan digemari ramai. Ubay, selaku vokalis baharu menggantikan Giring Ganesha, telah berjaya mengekalkan keunikan dan semangat kumpulan ini dengan nafas segar serta sentuhan moden.

Dalam sidang media yang turut disertai secara maya oleh Nidji dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pihak penganjur turut mengalu-alukan penaja yang berminat untuk bekerjasama menjayakan konsert ini.
Dengan muzik yang bertenaga, kejutan khas, serta elemen budaya tempatan, Konsert Nidji: Pelangi di Kuching 2025 bakal menjadi antara konsert paling dinantikan tahun ini di Sarawak.