November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Ngesot’ Filem Survival Thriller Pertama Di Malaysia

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Filem berlatarkan hutan belantara seringkali mengangkat kisah tentang kejadian seram, mistik dan petualang mengerikan. Lebih mendebarkan apabila ia menampilkan keupayaan para pelakon bertahan hidup dalam menghindari hal-hal membahayakan. Sejumlah filem perihal skill survival atau bertahan hidup yang membuat penonton cemas dan turut merasai derita sangat digemari serta diterima baik terutama sekali di Hollywood. Meski begitu banyak kisah fiksyen difilemkan, namun filem-filem yang berilhamkan dari kisah benar tetap memiliki tempat tersendiri di hati para penonton wayang.

Berada di bawah produksi Kash Pictures Sdn Bhd, bertemakan ‘Survival Thriller’, filem Ngesot sememangnya diilhamkan dari kisah benar tentang Nicholas Andrew, seorang penjawat awam Askar Wataniah yang mengharungi pelbagai kesusahan apabila terperangkap di dalam hutan selama beberapa hari selepas terlibat dalam satu kemalangan parah. Filem pertama bergenre sebegini di Malaysia memberi fokus bagaimana karektor utama terpaksa bertahan hidup dalam usaha menyelamatkan dirinya dan juga seorang lagi rakannya.

Berlaku pada 10 tahun yang lalu di Tapah, Perak apabila kereta yang dipandu oleh Nicholas Andrew telah terjunam ke dalam gaung yang curam pada Oktober 2014. Beliau terpaksa mengesot di hutan tersebut berhari-hari lamanya berikutan cedera parah yang dialami beserta luka penuh di seluruh tubuh. Tanpa makan dan minum, beliau terpaksa melakukan apa saja usaha untuk menyelamatkan dirinya berhadapan dengan pelbagai rintangan, tidak ketinggalan juga binatang buas. Mampukah Syazwan menyelamatkan dirinya?

Tak terbayang jika kita yang berada dalam situasi tersebut. Pasti sudah menangis dan jantung  berdebar tak keruan. Menitipkan mesej bertahan hidup yang menegangkan, memberi keinsafan dan pelajaran kepada kita sedikit sebanyak ketika menonton Ngesot. Filem arahan sutradara Ayez Shaukat ini mengambil masa 15 hari menjalani proses penggambaran di dalam hutan. Diedarkan sepenuhnya oleh Metrowealth dan mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Dana Kandungan Digital (DKD) yang telah diberikan bagi memastikan filem ini berjaya dihasilkan dan seterusnya dapat menemui penonton di pawagam.

Karektor utama dilakonkan oleh pelakon popular dan versatile Zul Khuzaimy, menjayakan watak Syazwan, seorang lelaki memiliki semangat juang yang tinggi, tidak  berputus-asa dan berjiwa besar. Terpaksa berhadapan dengan kesukaran demi kesukaran selepas terlibat kecelakaan dan terjunam di hutan belukar bersama rakan baiknya, Acap. Syazwan mencuba bertahan hidup dengan mencari bahan makanan, minuman dan tempat berlindung yang terbatas disekelilingnya. Dalam masa yang sama, Syazwan turut diuji dengan perasaan halusinasi yang menghantui cuba memanipulasi fikiran dengan berfikir yang bukan-bukan.

Pada satu babak yang lain, digambarkan keresahan seorang isteri yang sarat mengandung dalam penantian menunggu suami tercinta yang tak kunjung pulang. Nisa lakonan Sharifah Sakinah sebagai isteri kepada Syazwan beserta adik perempuannya Suria telah menjalankan usaha yang terbaik mencari mereka dan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kehilangan mereka. Kebimbangan, kesedihan dan penderitaan yang dialami sang isteri amat terkesan sehingga kita yang menonton turut sama merasakan.

Saya puji lakonan Zul Khuzaimy yang realistik dan tidak dibuat-buat. Jeritan menahan kesakitan, tubuh yang penuh luka dan siksa menahan lapar dahaga membuat penonton berkongsi derita melihat Syazwan mengesot dalam cubaan demi cubaan untuk keluar dari hutan belantara itu. Tidak perlu banyak dialog, hanya emosi, mainan mimik muka dan bahasa mata yang harus penonton selami untuk tenggelam dalam survival thriller ini. Selain 2 pelakon hebat ini, Ngesot turut dibintangi oleh Luqman Hafiz, Khir Rahman, Zakaria Zahid, Erynn Abdullah dan ramai lagi.

Jika anda suka kisah ‘survival’ berdasarkan kisah benar, jangan terlepas untuk saksikan filem Ngesot yang akan mula ditayangkan pada hari ini 9 Mei 2024 di seluruh pawagam di Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page