November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Nak Ajak Peminat Raikan ‘Persandingan’ Saya Mei Ini”- Siti Nordiana

Spread the love

Oleh :  Sakka E

“Ya, saya nak berkahwin, saya nak ajak peminat dan rakan-rakan media meraikan majlis ‘persandingan’ itu nanti ya”, usik Siti Nordiana ketika mengumumkan konsert solo pertamanya, Memori Berkasih di Zebra Square, Kuala Lumpur pada 30 Januari lalu.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi berkenaan foto Siti Nordiana mengenakan gaun putih yang tular di pelbagai platform media sosial.  Segalanya terjawab apabila ia merupakan sebuah sesi fotografi bagi konsert perdana Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang bakal di adakan di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Mei nanti.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini”, ujarnya.

“Ada yang mesej saya kecewa kerana menyangka saya akan berkahwin. Dia merajuk sampai ingin berpindah ke planet Marikh,” tambahnya.

Konsert itu merupakan hadiah buat semua peminatnya yang sentiasa menyokong beliau dalam karier seni selain ia juga tanda penghargaan. Lebih dua dekad dalam industri seni tanah air, Sti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, konsert itu disifatkan sebagai saksi ‘jatuh bangun’ dalam karier seninya.

“Ini merupakan konsert perdana saya sepanjang lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni.

“Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa. Ia akan menjadi ‘pelamin khas’ untuk meraikan karier bersama peminat,”ujarnya lagi.

Ketika mengulas berkenaan foto tular itu, pihak penganjur Icon Entertainment beranggapan ianya merupakan pemasaran strategik selari dengan konsep konsert tersebut. Menurut penganjur Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, Iman Tang semua yang dilakukan adalah berkaitan tentang menggamit nostalgia.

Sementara itu wakil pihak penganjur Mike Manicka berkata, Nana juga berjaya mencipta nostalgia hingga sukar dilupakan peminat ssekitar tahun 2000.

“Siti Nordiana sendiri telah membuktikan bakat nyanyiannya sejak kecil dan masih relevan terhadap industri sehingga kini. Ini juga yang membuat Icon Entertainment mahu menganjurkan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun selepas melihat beliau belum pernah melakukan konsert sepanjang kariernya.

“Jadi Icon Entertainment membawa konsep memori atau nostalgia lagu-lagu Siti Nordiana yang penuh dengan kisah cinta dalam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun,” ujar Mike
Pada malam konsert itu, penonton boleh memakai baju bertemakan memori silam bagi membangkitkan suasana sekali gus ‘larut’ dalam momen tersebut.

Harga tiket bermula RM188 (Paling Comel), RM228 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta), RM4888 (VIP Box, 8 pax per box). Ia boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012 6530 700 (whatsapp).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page