October 5, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Najmi Niery Bangga Lagu Ciptaan Sendiri, Asing Dipilih Jadi Ost Drama Hospital Loveline

Spread the love

Penyanyi dan komposer baharu, Najmi Niery melakar satu pencapaian membanggakan apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya berjudul Asing terpilih sebagai lagu runut bunyi (OST) drama popular slot Akasia TV3, Hospital Loveline

Kadang-kadang rezeki datang dengan cara yang tidak disangka, hanya bermula dengan secebis korus lagu yang sudah lama tersimpan, akhirnya membuka pintu besar dalam perjalanan seninya. Lagu ciptaan dan nyanyiannya berjudul Asing kini menjadi runut bunyi rasmi (OST) drama sensasi TV3, Hospital Loveline.

“Sejujurnya saya tak pernah terfikir lagu ni akan jadi OST. Saya simpan bahagian korusnya hampir dua tahun. Malah, pernah juga terlintas nak beri lagu ini kepada artis lain – sama ada dari Malaysia atau Indonesia. Tapi rupanya, tuah lagu ni Allah lorongkan ke drama TV3,” kata Najmi, masih teruja dengan peluang sulungnya.

Menariknya, Asing asalnya dicipta dengan mood lebih rancak. Namun apabila diberi tugasan sebagai OST, Najmi bersama dua rakan pemuziknya mengolah semula melodi agar lebih santai, tenang dan sesuai dengan nuansa jalan cerita drama.

“Kalau ikut idea asal, lagu ni lebih laju dan bertenaga. Tapi untuk OST, kita perlu ‘relax’, lebih akustik, dan ‘easy listening’ supaya penonton boleh benar-benar rasa emosi ceritanya,” jelasnya.

Asing mengisahkan perasaan janggal yang muncul selepas kehilangan insan tersayang – bila semua perkara yang dulunya dilakukan bersama kini tinggal hanya kenangan.

“Kalau dulu ada orang temankan makan, berbual, ketawa… tapi sekarang hanya tinggal kerusi kosong dan kesunyian. Itu yang saya cuba sampaikan – rasa asing itu normal, dan ramai orang pernah melaluinya,” ujar Najmi penuh makna.

Berbeza dengan karya terdahulunya yang lebih ‘galau’, Asing hadir sebagai percubaan baharu Najmi dengan mood yang lebih ringan, tetapi tetap penuh rasa.

“Ia satu kelainan yang saya mahu cuba. Saya nak pendengar nikmati lagu yang tidak terlalu berat, tidak terlalu ringan, tapi cukup akustik dan tenang untuk didengar berulang kali,” katanya.

Diterbitkan dengan kerjasama Alternate Records Sdn. Bhd, Naj&CO dan Malika Entertainment serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia, Asing kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital. Video visualizer rasmi pula sudah dimuat naik di saluran YouTube Najmi Niery di https://www.youtube.com/watch?v=fHbjlhXpdIo&list=RDfHbjlhXpdIo&start_radio=1


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page