May 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nadin Amizah Tawan Semula Hati Peminat Malaysia Menerusi “Malam Mendengar” Berorkestra di Zepp Kuala Lumpur

Spread the love

Penyanyi dan penulis lagu tersohor Indonesia, Nadin Amizah, kembali menyemarakkan pentas Malaysia dengan persembahan eksklusif “Malam Mendengar”, yang bakal berlangsung esok di Zepp Kuala Lumpur. Kali ini, Nadin membawa pengalaman emosi yang lebih mendalam menerusi sebuah showcase yang dipersembahkan secara orkestra penuh buat pertama kali di Malaysia.

Dianjurkan oleh Renjana Idea, persembahan ini menjadi detik istimewa dalam perjalanan seni Nadin yang sebelum ini pernah mengadakan konsert Selamat Ulang Tahun di lokasi yang sama pada tahun lalu. Mengakui dirinya berdebar namun teruja, Nadin menyifatkan persembahan ini sebagai satu misi besar yang akhirnya terlaksana.

“Saya sangat gementar. Setiap kali kembali ke Malaysia, rasanya seperti membawa sesuatu yang besar. Tahun lepas saya hadir dengan konsert Selamat Ulang Tahun juga di sini. Kali ini, Malam Mendengar bersama Renjana Idea kembali ke tempat yang sama,” ujar Nadin ketika ditemui media di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Yang membezakan “Malam Mendengar” kali ini ialah kehadiran 40 pemuzik orkestra profesional dari Jakarta, menjadikan ia sebuah produksi berskala besar yang mengangkat karya-karya Nadin ke dimensi baharu. Walaupun pernah membawakan versi orkestra di Jakarta, ini merupakan kali pertama konsep tersebut dihidupkan semula di luar negaranya.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana merealisasikan impian besar ini. Walaupun pernah sekali dilakukan di Jakarta, persembahan ini adalah pertama kali untuk penonton luar negara, dan Malaysia dipilih sebagai lokasi sulungnya”, ujarnya.

Dengan lebih 10 lagu dalam setlist, persembahan ini menampilkan susunan muzik baharu hasil kerjasama erat bersama pengarah muzik Lasta Pratom, yang menurut Nadin adalah antara gubahan terbaik dalam katalog diskografinya setakat ini.

“Saya terlibat sendiri dalam gubahan muzik untuk persembahan ini, dan setiap susunan menggambarkan sisi lembut, indah dan menenangkan seiring dengan jiwa lagu-lagu saya. Ia adalah karya yang sangat personal”, katanya.

Walaupun format asal persembahan di Jakarta membolehkan penonton berbaring sambil menikmati alunan muzik, Nadin menjelaskan bahawa melalui keajaiban bunyi orkestra, suasana reflektif dan tenang yang sama dapat dinikmati meskipun dalam format duduk.

“Saya memang impikan persembahan yang boleh dinikmati dalam posisi berbaring, seperti mendengar dongeng dalam mimpi. Walaupun susah nak laksanakan konsep itu di sini, saya percaya emosi yang sama boleh dicapai melalui persembahan orkestra yang lembut dan mendalam.”

Persembahan ini juga menandakan penampilan pertama Nadin dengan gaya berambut perang, simbol perubahan fasa kreatif dan kematangan artistiknya. Ia turut menjadi pentas pertama buat banyak lagu dari album Untuk Dunia Cinta dan Kotornya, karya yang sebelum ini belum pernah dipersembahkan secara langsung di Malaysia.

“Dulu saya belum cukup yakin untuk membawakan lagu-lagu ini. Tapi sekarang saya percaya, penonton Malaysia sudah bersedia untuk menerimanya.”

Mengakhiri perkongsiannya, Nadin menyampaikan penghargaan penuh tulus kepada pihak Renjana Idea atas keberanian dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Tanpa Renjana Idea, persembahan ini tak akan menjadi kenyataan. Terima kasih dari lubuk hati saya.”

Showcase “Malam Mendengar” bersama Nadin Amizah akan berlangsung pada 16 Mei 2025, di Zepp Kuala Lumpur bakal menjanjikan sebuah malam penuh emosi, intimasi dan keindahan muzik yang melampaui batas geografi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page