Nadeera Wakili Malaysia Ke ABU Song Festival 2025

Penyanyi bersuara lantang yang semakin menonjol di persada seni tanah air, Nadeera, sekali lagi melakar pencapaian gemilang apabila dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke ABU Song Festival 2025 yang akan berlangsung pada 13 September ini di Tsonjin Boldog, Mongolia.
Festival anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) itu merupakan acara tahunan berbentuk persembahan gala tanpa pertandingan, menghimpunkan artis-artis dari seluruh rantau Asia. Ia disiarkan semula oleh penyiar kebangsaan di negara masing-masing, menjadikan pentas berprestij ini wadah penting untuk memperkenalkan bakat serta karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu bakal mempersembahkan lagu popularnya “Bukan Lagi Kita”, karya yang melonjakkannya sebagai antara vokalis terbaik generasi baharu.
“Pemilihan oleh RTM ini satu penghormatan besar buat saya. Lagu ini amat dekat di hati saya dan para pendengar, jadi saya mahu menyampaikannya dengan sepenuh jiwa, sebagai hadiah buat semua,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Nadeera turut menegaskan bahawa penampilannya di pentas berprestij itu membawa tanggungjawab besar kerana menggalas nama Malaysia.

“Saya sedar di pentas ini saya bukan sekadar Nadeera, tetapi seorang anak Malaysia. Setiap nota yang dinyanyikan nanti adalah doa, harapan dan kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan terbaik,” tambahnya.
Walaupun bukan kali pertama membuat persembahan di luar negara – sebelum ini di Vietnam dan Indonesia – peluang kali ini disifatkan lebih bermakna kerana menyertai festival yang menghimpunkan artis-artis hebat dari seluruh Asia.
“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air. Kali ini lebih istimewa kerana saya tampil di festival antarabangsa. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara tersendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada RTM, pihak pengurusan, pasukan produksi, pemuzik serta para peminat yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan kariernya.
Rocketfuel Entertainment pula menyatakan keyakinan penuh terhadap anak didik mereka itu.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nadeera. Pemilihan ini membuktikan kehebatan vokal dan disiplin kerjayanya. Kami yakin Nadeera akan mengharumkan nama Malaysia di Mongolia serta membuka ruang kepada lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa,” menurut kenyataan syarikat itu.