October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nadeera Terima Lagu Dari Rocketfuel  Entertainment

Spread the love

Pertandingan Big Stage musim ke-5 (BS5) yang baharu sahaja melabuhkan tirainya telah menyaksikan peserta bernama Nadeera Zaini, 30, dinobatkan sebagai juara.

Dalam memacukan perjalanan seninya yang baharu sahaja bermula, label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment menghadiahkan lagu baharu khas buat Nadeera sebagai penghargaan terhadap kemenangannya.

“Sesungguhnya pihak Astro amat berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh Nadeera. Sepanjang sepuluh minggu berentap, ramai telah menyaksikan kesungguhan serta kemampuan penyanyi ini yang sememangnya layak bergelar juara”, ujar Pn. Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro

“Ternyata Big Stage merupakan tempat lahirnya bintang-bintang industri muzik baharu yang berkemampuan untuk mencapai kejayaan pada tahap internasional. “

“Oleh itu, pihak Rocketfuel berbesar hati menghadiahkan sebuah lagu ciptaan komposer tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin yang merupakan pencipta lagu ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian penyanyi antarabangsa terkemuka, Justin Bieber. Kami berharap Nadeera mampu mengorak langkah dengan lebih jauh lagi dengan lagu yang bakal dirakamkan nanti.”

Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd sememangnya menghargai bakat-bakat baharu yang lahir dari pertandingan realiti terutamanya terbitan Astro, dan sebagai tanda sokongannya terhadap industri muzik Malaysia, pendekatan sebegini selalunya diambil agar artis tersebut dapat berkembang lebih maju pada masa hadapan.

“Rocketfuel sememangnya memberikan sokongan dan galakan 100% untuk penggerak muzik pelapis baharu industri hiburan Malaysia agar mereka dapat pergi jauh lagi dalam kerjaya masing-masing, sekaligus menjadikan program Big Stage sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan agar program ini lebih maju ke hadapan dengan konten-konten yang bermutu dan berkualiti”, ujar En. Prem Anand, Ketua Rocketfuel Entertainment

Untuk info, Hyuk Shin yang dilahirkan pada 5 Jun 1985 adalah produser muzik dan penyanyi-penggubah lagu asal Korea Selatan.  Beliau telah menubuhkan team A-Rex yang bertanggungjawab menciptakan lagu popular ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian Justin Bieber pada tahun 2009 yang meledak. Beliau telah bekerja dengan ramai penyanyi antarabangsa K-pop yang terkenal sepert GFriend, EXO, Shinee, DEAN, Oh My Girl, Girls’ Generation, Monsta X, NCT, GOT7 dan SF9.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page