Nadeera Tampil Kembali Dengan Lagu Terbaharunya ‘Udara’
Penyanyi wanita bersuara lunak, Nadeera, telah tampil kembali menerusi lagu terbaharunya berjudul ‘Udara’ hasil ciptaan komposer yang semakin meningkat naik, Iqie Hugh, Shazeriq Azeman dan Omar K juga diterbitkan oleh label terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.
Dalam sebuah kenyataan akhbar, beliau juga mendedahkan bahawa lagu Udara itu kepada jalan cerita di sebalik sebuah drama bersiri berjudul ‘Framed’.
Berikutan pengeluaran lagu terbaharunya itu, Nadeera berkata beliau sangat teruja apabila dipilih oleh pihak Rocketfuel Entertainment sebagai pembawa suara runut bunyi bagi drama bersiri Framed yang akan ditayangkan tidak lama lagi bermula 3 Mei 2024.
“Jalan cerita bagi single Udara ini mengisahkan tentang seseorang yang mencari jawapan ke atas kehilangan insan yang disayangi dan secara tidak langsung terlibat dalam sebuah konspirasi yang merujuk kepada jalan cerita di sebalik drama bersiri Framed.
“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu Udara ini dengan sebaiknya, dan semoga lagu dan bait liriknya mendapat tempat di hati para peminat di Malaysia khususnya. Tambahan pula, lagu ini mempunyai auranya yang tersendiri,” ujar Nadeera.
Lagu Udara boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Video lirik untuk lagu Udara pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network bermula 22 April 2024.
Sebelum mengeluarkan lagu terbaharunya itu, Nadeera turut muncul dengan beberapa single sebelum ini, termasuklah single ‘Balik Raya’ bersama Wani Kayrie dan Indah Ruhaila di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, manakala perjalanan seninya bermula ketika menjadi juara program realiti popular dan dari situ, bintang bernama Nadeera mula bersinar.