September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nabila Razali Perkenal Taiwan Sebagai Destinasi Percutian Mesra Muslim

2 min read
Spread the love

Pentadbiran Pelancongan Taiwan (TTA) telah menjalinkan kerjasama dengan penyanyi, pelakon, dan selebriti Malaysia, Nabila Razali, untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan bagi rakyat Malaysia dan pengembara Islam di seluruh dunia. Sehubungan itu, Nabila dilantik sebagai Duta Salam Taiwan 2024.

Nabila menyifatkan pelantikannya sebagai Duta Salam Taiwan 2024 sebagai pencapaian bermakna dalam kerjaya seninya yang telah berlangsung lebih sedekad. Dia berasa bersyukur dan berbesar hati dengan tanggungjawab baru ini dan bertekad untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

Dia telah mengunjungi Taiwan tiga kali dan terpesona dengan keindahan alam semula jadi serta budaya di sana. Dia juga menghargai keramahan penduduk Taiwan dan efisiensi sistem pengangkutannya. Nabila berpeluang menikmati pelbagai pengalaman menarik di Taiwan, seperti mendaki Bitoujiao Trail dan berbasikal di Tanyashen Greenway. Dia juga mencuba makanan Muslim tempatan seperti ayam goreng yang sangat digemarinya.

“Ayam goreng itu antara sajian enak yang pasti saya cari apabila berkunjung ke Taiwan. Insya-Allah, jika ada kesempatan lagi, sudah tentu saya akan bawa suami bersama untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di Taiwan.

“Saya yakin pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memberi impak besar kepada perjalanan karier seni Bella, terutama apabila pengaruh dan populariti saya dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan perkara yang positif kepada masyarakat,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, Pentadbiran Pelancongan Taiwan melancarkan video dan risalah terbaru untuk mempromosikan Taiwan kepada pelancong Muslim dari Malaysia manakala Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah melancarkan video promosi terbaru bertajuk “Jom Taiwan” yang menampilkan Nabila Razali sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan Taiwan sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong Muslim dari Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Chou Ting-chang, dalam kenyataan media yang sama juga menyatakan bahawa hubungan erat antara Taiwan dan Malaysia menjadikan negara ini pasaran utama dalam promosi pelancongan Muslim. Sejak 2018, jenama Salam Taiwan telah membina reputasi sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

Antara Januari dan Mei 2024, terdapat peningkatan hampir 20 peratus dalam jumlah pelancong Malaysia yang berkunjung ke Taiwan, dengan lebih 200,000 pelawat. Ini mendorong Taiwan untuk terus komited dalam memenuhi keperluan pengembara Muslim. Nabila, yang mempunyai 3.5 juta pengikut di media sosial, dilantik sebagai duta kempen ini untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia ke Taiwan.

Selain itu, risalah panduan perjalanan Muslim dan kempen undian “72 Jam Di Taiwan” turut dilancarkan, memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memenangi pakej pelancongan tiga hari dua malam di Taiwan. Pentadbiran Pelancongan Taiwan juga akan mengambil bahagian dalam MATTA Fair 2024 di Kuala Lumpur, di mana peminat boleh bertemu Nabila pada 7 September ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page