February 27, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nabila Razali Kembali Dengan ‘Prekuel Raya’, Tak Sabar Nak Raya

Spread the love

Selepas mencipta fenomena menerusi lagu raya Raya Mana? yang trending dua tahun lalu, penyanyi popular Nabila Razali kembali memeriahkan musim Aidilfitri tahun ini dengan single raya terbaharu berjudul Tak Sabar Nak Raya.

Majlis sidang media serta berbuka puasa sempena pelancaran lagu berkenaan berlangsung di MATRADE, pada 25 Febuari lalu dengan tajaan Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd serta S Creative Solutions Event Entertainment Sdn. Bhd.

Lagu ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin dan Asyraf Nasir itu menyaksikan MFMF bertindak selaku produser dan penyusun muzik.

Menariknya, TAK SABAR NAK RAYA! bukanlah kesinambungan kepada Raya Mana?, sebaliknya boleh dianggap sebagai ‘prekuel’ kepada karya terdahulu apabila mengangkat kisah suasana raya Bella sebelum mendirikan rumah tangga.

Bella berkata, lagu berkenaan cuba menggambarkan keterujaan menjelang Syawal yang sering dirasai ramai setiap kali Ramadan hampir melabuhkan tirai.

“Kadang-kadang kita terlalu tak sabar nak beraya sampai terlupa esok masih puasa. Sibuk gosok baju raya, fikir nak pakai apa, bayang duit raya… paling tak sabar nak jumpa saudara-mara.

“Itulah gambaran yang Bella cuba sampaikan dalam lagu ini bersama muzik video. Bukan sekadar hiburan, tetapi untuk menunjukkan semangat meraikan hari kemenangan,” katanya.

Menurutnya, jika dalam Raya Mana? dia berdepan dilema memilih kampung selepas berkahwin, TAK SABAR NAK RAYA! pula membawa pendengar menyelami kehidupannya ketika masih bujang dan tinggal bersama keluarga sebelum berhijrah ke bandar mencari rezeki.

Malah, naratif lagu ini turut mengaitkan detik pertemuan dengan pasangan hidupnya, Aizat Saha yang sebelum ini muncul dalam muzik video Raya Mana?.

Proses rakaman vokal untuk lagu ini mengambil masa kira-kira empat jam untuk disiapkan dengan kemunculan istimewa pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad.

“Bekerja dengan Haji Nabil sangat menyeronokkan kerana beliau hadir dengan persediaan rapi selain memberi pelbagai idea spontan bagi menceriakan lagu ini,” katanya.

Muzik video TAK SABAR NAK RAYA! menjalani penggambaran selama 12 jam di sekitar Hulu Langat dengan latar rumah kampung tradisional.

Bella berkata, antara cabaran utama adalah menyelaraskan babak tarian berkumpulan selain faktor cuaca tidak menentu ketika penggambaran berlangsung.

Selain Nabil dan Aizat, MV berkenaan turut menampilkan beberapa pempengaruh media sosial seperti Aggy, King Oyen, Adik Yusuf dan Shaffiq Erwin bagi menambah kemeriahan suasana raya.

Dalam perkembangan lain, Nabila bakal muncul dengan mini siri 20 episod berjudul Di Sebalik Cahaya Raya yang akan mula bersiaran di platform Viu pada 26 Februari 2026 dengan TAK SABAR NAK RAYA! dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi.

Single terbitan Nabila Razali Entertainment, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management itu boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music mulai 27 Februari 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page