April 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nabila Razali & Den Manjo Gegarkan Raya Dengan ‘Raya Mana?’ Versi Kelate

Spread the love

Kalau tahun lepas lagu Raya Mana berjaya menghangatkan timeline Raya dengan melodi catchy dan vibe ceria, tahun ini Nabila Razali kembali dengan kejutan yang cukup sweet — lagu raya ini kini muncul dalam versi loghat Kelantan! Lagi menarik, Nabila berduet bersama penyanyi popular Kelantan, Den Manjo, bagi menambah rasa “ore Kelate” dalam lagu ini.

Menurut Nabila, dia berasa sedikit gementar untuk menyanyikan versi ini kerana tidak begitu fasih dalam loghat Kelantan walaupun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari Kelantan.

“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama dengan Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan. Sejujurnya saya agak gementar untuk menyanyikan lagu ini kerana loghat Kelantan bukanlah bahasa pertama saya.

“Sampaikan sudah menimang cahaya mata pun saya masih lagi belum fasih untuk berbahasa Kelantan. Tapi tak mengapa, mula-mula menyanyi dahulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya.

Nabila yang juga penyanyi lagu Peluang Kedua berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan sebutannya tepat, Nabila turut mendapatkan bimbingan daripada Den Manjo mengenai cara percakapan masyarakat Kelantan agar nyanyiannya tidak kedengaran canggung.

“Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan. Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” katanya lagi.

Tahun lalu, lagu ‘Raya Mana’ berjaya menjadi antara lagu raya yang trending dan tular di media sosial. Malah, Nabila turut mendapat perhatian ramai apabila mempersembahkan lagu ‘Raya Mana’ dalam bahasa isyarat, menjadikannya lebih inklusif kepada semua lapisan masyarakat

Dengan pelancaran ‘Raya Mana’ versi Kelantan ini, diharapkan ia dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page