My Chemical Romance Cipta Sejarah di Kuala Lumpur: 120,000 Tiket Habis Terjual untuk Konsert Dua Malam Berturut-turut di Stadium Nasional

Fenomena My Chemical Romance (MCR) kembali menggoncang Malaysia apabila tiket malam kedua konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026 habis terjual hanya dalam beberapa jam selepas dibuka hari ini. Konsert ini merupakan sebahagian daripada MCR South East Asia Tour 2026, dan kini secara rasmi menjadi persembahan berskala terbesar pernah dianjurkan di Asia Tenggara oleh band antarabangsa dengan jumlah keseluruhan penonton mencecah 120,000 orang.
Pihak penganjur, Hello Universe, dalam satu kenyataan menyifatkan kejayaan penjualan tiket ini sebagai “detik bersejarah” bukan sahaja buat negara, malah untuk rantau ini.
“Ini adalah detik bersejarah untuk negara dan Asia Tenggara apabila secara rasmi tiket malam kedua My Chemical Romance di Kuala Lumpur licin dalam tempoh beberapa jam,” ujar jurucakap Hello Universe.
Menurut mereka, penjualan pantas ini sekaligus mencipta rekod baharu bagi konsert di stadium membabitkan band antarabangsa, dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi dalam jelajah Asia Tenggara dengan dua malam persembahan berturut-turut.
“Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi satu-satunya bandar dalam rangka jelajah ini dengan dua malam persembahan, malah mencatat jumlah penonton terbesar yang pernah dicapai My Chemical Romance di rantau Asia Tenggara.”
Kejayaan ini juga menandakan kali pertama dalam sejarah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lokasi konsert antarabangsa berskala besar selama dua malam berturut-turut, memposisikan Malaysia sebagai hab acara muzik serantau sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Konsert pertama pada 30 April 2026 sebelum ini mencetus fenomena luar biasa apabila 60,000 tiket habis dalam masa hanya 90 minit selepas jualan dibuka pada 11 pagi, 11 Julai lalu. Rentetan sambutan yang luar biasa itu, pihak penganjur mengumumkan penambahan malam kedua pada 23 Julai lalu — yang sekali lagi mencatat penjualan luar biasa dalam masa beberapa jam hari ini.
Selain Malaysia, rangka jelajah MCR South East Asia Tour 2026 turut melibatkan Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia.
Kemunculan ini menandakan kepulangan My Chemical Romance ke Malaysia selepas 18 tahun, sejak kali terakhir mereka menggegarkan Stadium Merdeka pada 2007 dalam siri jelajah The Black Parade World Tour, yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat pada waktu itu.
Ditubuhkan pada tahun 2001, My Chemical Romance dianggotai oleh Gerard Way (vokal), Ray Toro (gitar), Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes). Kumpulan ini mencetus fenomena global menerusi karya-karya ikonik seperti Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You, dan I’m Not Okay (I Promise).
Dengan populariti mereka yang tidak pernah surut dan semangat peminat yang membara, My Chemical Romance sekali lagi membuktikan bahawa muzik mereka masih relevan dan penuh daya tarikan lintas generasi.