May 6, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Muslihat: Jantung Sunyi di Rumah Anak Malang

Spread the love

Panti semacam menunggu. Semacam diam yang mengintai. Sunyi, bukan sunyi biasa. Ia Dindingnya usang, lantainya basah oleh ingatan yang tidak mahu kering. Di sinilah dua anak manusia dibuang oleh takdir – tidak ke rumah, tapi ke tempat di mana doa-doa yang tak sempat diucap bersisa di dinding.

Syafa – anak kecil yang masih belajar mengerti dunia – mula menyimpan sesuatu yang bukan miliknya. Jihan – kakaknya – menjadi satu-satunya dinding yang menghalang bayang daripada menyerap habis cahaya. Maka filem pun bermula, berbisik – bisik dengan jeritan perasaan yang ditusuk perlahan-lahan, seperti kuku yang mencakar jiwa – tapi tidak menumpahkan darah.

Muslihat mahu menguji iman. Ia mahu menggoyang rasa percaya. Bahawa kadang-kadang yang kita sayang itulah pintu kepada yang tidak kita kenal. Bahawa kadang-kadang, untuk menyelamatkan satu jiwa, kita perlu hilang separuh dari diri kita sendiri.

Tidak ada pontianak yang melompat dari bumbung. Tiada langsuir yang terbang dari dapur. Yang ada hanyalah mata yang kosong. Suara yang bukan milik manusia. Dan tubuh kecil yang duduk bersila sambil menyanyi lagu lama – lagu yang tidak pernah diajarkan oleh penjaga panti.

Asmara Abigail bernafas sebagai Jihan. Dia menjadi kakak yang menolak batas kasih, memeluk luka, dan menentang bayang tanpa senjata – hanya dengan doa yang goyah dan cinta yang sudah lebam. Syafa adalah wadah. Dia adalah penunggu yang tidak pernah diundang – tapi tetap tinggal.

Adegan ruqyah dalam filem ini tidak mendidik. Ia tidak mahu menjadi manual. Ia adalah ritual berdarah – bukan dari luka kulit, tapi luka batin. Ketika lafaz-lafaz suci bertempur dengan makhluk yang diam di dalam darah, kita tidak melihat perang antara manusia dan jin – kita melihat seorang kakak yang cuba menyelamatkan adiknya, walau dengan seluruh jiwa yang tinggal hanya serpih.

Tapi tidak semua sempurna. Ada babak yang terasa seperti catatan yang ditinggalkan separuh. Ada watak yang wujud tapi tidak hidup. Dan akhir cerita, ia seperti pintu yang ditutup perlahan tapi tidak dikunci. Kita tinggalkan pawagam dengan soalan yang tak terjawab. Tapi mungkin itu muslihatnya – ia mahu kita bawa cerita ini pulang. Biar ia duduk di penjuru rumah. Diam. Menunggu.

Muslihat filem yang menyelinap. Ia duduk di bawah kulit. Tak perlu mengetuk pintu, kerana sudah berada dalam kamar. Tidak perlu menjerit, tapi cukup dengan satu pandang dari Syafa – dan kita pun percaya bahawa ada jenis ketakutan yang tidak perlukan suara.

“Kadang-kadang, untuk mengusir syaitan, kita perlu berdepan dengan diri sendiri. Dan tiada yang lebih menakutkan daripada melihat kasih berubah menjadi medan perang antara roh dan tubuh. Antara cinta dan kehilangan.”


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page