Music For Palestine: Dentuman Muzik Jadi Suara Kemanusiaan
Oleh Jorn Seth Ov Metalwarpage
Ketika dunia terus menyaksikan penderitaan yang tidak berkesudahan di Gaza, muzik sekali lagi membuktikan ia bukan sekadar hiburan, tetapi medium kemanusiaan yang berani bersuara. Itulah semangat yang menggerakkan Music For Palestine, sebuah acara amal di bawah inisiatif Music for Charity, yang bakal berlangsung pada 31 Januari 2026 di B’Sync KL, bermula jam 2 petang hingga lewat malam.
Acara ini menghimpunkan pemain muzik dari spektrum keras dan alternatif tempatan dalam satu misi yang jelas menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Lebih daripada sebuah konsert, Music For Palestine berdiri sebagai pentas solidariti, kesedaran dan sokongan moral terhadap krisis yang masih berlarutan.
Setiap pembelian tiket membawa makna tersendiri apabila 100 peratus hasil kutipan akan disalurkan terus kepada Cinta Gaza Malaysia, menjadikan kehadiran penonton bukan sekadar menyaksikan persembahan, tetapi turut menjadi sebahagian daripada gerakan kemanusiaan yang lebih besar.
Barisan artis yang diketengahkan mencerminkan kesatuan komuniti muzik tanpa batas genre. Nama-nama seperti Dead Mushroom, Black Fire, Ascent, Herriot, Blind Tribe, Langsuir dan Al Farabi Band menjadi tunjang utama acara ini, disokong oleh Gas Money, The Warkone, Misery Signals (MY), Void dan Cik.
Gabungan ini merentasi dunia metal, hardcore, rock alternatif dan eksperimental, membuktikan bahawa muzik keras juga punya empati, jiwa dan kepekaan sosial yang tinggi.
Menariknya, Music For Palestine turut berfungsi sebagai pertemuan komuniti apabila diserikan dengan kehadiran vendor tempatan seperti Asala, Dapoq Metal, Chili Peel, Woop dan Lo Lampa. Ini menjadikan acara tersebut sebuah ruang interaksi, sokongan ekonomi kecil dan solidariti akar umbi yang hidup.
Bagi peminat yang ingin menyertai acara bermakna ini, tiket pra-jualan ditawarkan pada harga RM75 sehingga 30 Januari 2026, manakala harga tiket di pintu masuk adalah RM85. Dengan tempoh persembahan yang panjang dan barisan artis yang padat, penonton dijanjikan pengalaman muzik yang intens, emosional dan sarat makna.
