MUAH Tampilkan Sisi Berbeza Naim Daniel
Nama Naim Daniel sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak, bakat seni yang mengalir dalam dirinya semakin rancak malah perjalanan kariernya bermula sebagai penyanyi solo terus bercambah dan kini tampil bersama band MUAH yang ditubuhkan sejak setahun setengah.
MUAH! merupakan sebuah kumpulan yang berpusat di Kuala Lumpur. Menampilkan irama pop rock sebagai genre utama dalam penciptaan lagu mereka, kumpulan ini menampilkan Naim Daniel sebagai vokalis dan pemain gitar utama berserta, Zenith (gitar), Tasneem (Bass), Mairil (Deram),dan Ayai (Keyboard).
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, berkata, bergerak sebagai band nyata memberikan kepuasan berlainan buatnya.
“Hakikatnya, kisah di sebalik penubuhan band ini pun sebenarnya agak menarik. Idea itu datang ketika saya dirundung situasi beremosi tidak lama dulu. Ada satu persembahan di acara kerajaan dan saya pelik apabila lupa lirik lagu sendiri. Apabila pulang rumah, saya terduduk rasa macam ‘burnout’ sebab buat perkara sama berulang-ulang”, ujarnya ketika ditemui media sewaktu majlis pelancaran single pertama yang berjudul BFF.
“Saya cuma nak cuba sesuatu yang baru. Dari situlah tercetus untuk saya tubuhkan band. Bila buat band, saya dapat jumpa sebuah titik baru dan membantu meraih semula adrenalin itu,” ujarnya
Naim mahu memberikan sepenuh hatinya terhadap perjalanan karier MUAH. Kiranya, tanggungjawab digalasnya semakin bertambah dan bukan hanya fokus kepada kerjaya solo saja. Dia mahu jenama band itu sendiri akan berdiri kukuh dalam jangka masa panjang. Ia bukan projek semusim saja atau dikenali sebagai entiti berasingan.
Dan sebagai buah tangan pertama mereka selepas bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia, kumpulan MUAH! tampil dengan lagu baharu pertama mereka yang bertajuk ‘BBF’.
Berkongsi perkembangan MUAH, Naim sebenarnya sangat tersentuh dengan sambutan memberangsangkan diterima setakat ini. Dia sendiri kagum apabila band itu sudah ada pengikut setia tersendiri.
Lagu BBF bertemakan masalah dalam perhubungan tentang seorang lelaki yang mempunyai kekasih namun pada masa yang sama kekasihnya itu mempunyai kawan lelaki lain yang cuba untuk menawan hatinya.
“Lirik lagu ni kami tulis dengan sangat mudah dan penggunaan bahasa dalam lagu ni pun boleh dikatakan menggunakan bahasa pasar supaya apabila pendengar mendengar lagu ni, mereka akan lebih mudah memahami serta merasa dekat dengan kehidupan mereka,” jelas mereka ketika sidang media yang di adakan di Flint Café & Roastery, Mutiara Damansara pada 7 Oktober lalu.
Proses rakaman lagu BBF juga sangat mudah kerana penerbit tahu apa yang mereka mahukan dalam lagu ini.
“Kami juga saling bertukar idea untuk memastikan hasil lagu ini menjadi lebih baik. Sebelum kami mula merakam lagu BBF, kami pernah buat demo dan banyak kali berlatih di dalam studio. Dari versi pertama sampailah ke versi terakhir. Bila semua ahli kumpulan dah tahu bahagian masing-masing yang perlu dimainkan, kemudian barulah kami rakam lagu BBF,” jelas mereka lagi.
Saat ditanya mengenai harapan mereka terhadap lagu ini MUAH! Hanya mengharapkan lagu BBF mendapat penerimaan dan sambutan yang baik dari para pendengar.
“Kami juga berharap lagu ni dapat menembusi pasaran industri muzik kita dan juga luar negara,” kata mereka menutup bicara.
‘BBF’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify,YouTube dan YouTube Music. Ianya telah berada di pelbagai platform sejak 20 September lalu.