MRF Consultant Teruskan Projek Rumahku Syurgaku, Bersedia Ambil Tindakan Undang-Undang

Di tengah-tengah spekulasi dan dakwaan yang mencetuskan kontroversi, MRF Consultant (M) Sdn Bhd tampil dengan ketegasan bahawa projek perumahan Rumahku Syurgaku (RKSK) akan diteruskan dengan pemantauan ketat pihak berkuasa. Dalam satu sidang media eksklusif yang diadakan di Courtyard Setia Alam Hotel pada 23 Mac lalu, syarikat itu turut mengumumkan langkah perundangan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terhadap pengasasnya, YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba.
Menurut wakil rasmi syarikat, Encik Fauzi, MRF Consultant telah memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada pihak terbabit untuk menarik balik dakwaan mereka dan memohon maaf secara terbuka sejak kenyataan rasmi dikeluarkan pada 11 Januari 2024. Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan. Tambahnya, mahkamah telah mendapati bahawa YM Dato’ Sri tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah, malah beliau telah memberikan kerjasama penuh sepanjang prosiding berlangsung.

“Kami tidak akan berdiam diri. Nama baik MRF Consultant serta reputasi pengasas kami perlu dibersihkan. Sebarang fitnah atau kenyataan tidak berasas akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” tegas Fauzi dalam ucapannya.
Dalam perkembangan positif, MRF Consultant mengesahkan bahawa projek RKSK akan diteruskan, dengan pematuhan ketat kepada peraturan serta kelulusan penuh daripada pihak berkuasa. Syarikat itu meminta agar semua pihak yang berminat agar bersabar sehingga pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.
MRF juga menegaskan bahawa semua sumber kewangannya telah diperiksa dengan teliti oleh pihak berkuasa dan telah mendapat pengesahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“MRF Consultant tidak menggunakan nama mana-mana individu atau organisasi dalam urusan kewangan kami. Jika ada pihak yang dikaitkan secara salah, kami mengalu-alukan mereka untuk berhubung terus dengan pengurusan tertinggi kami untuk mendapatkan kepastian,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebagai langkah proaktif membantu masyarakat, MRF Consultant turut mengumumkan bahawa mereka bersedia menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada individu dan organisasi yang memerlukan. Bagaimanapun, permohonan hanya akan dibuka selepas Mei 2025, dan ia tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan syarikat.
“Ini adalah inisiatif kami dalam memberikan manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Namun, pemohon perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan proses yang telus dan berintegriti,” tambah Fauzi.
Selain perkembangan projek dan tindakan undang-undang, sidang media ini turut menyentuh tentang isu peribadi YM Dato’ Sri. Beliau menegaskan akan menuntut semula hak jagaan anaknya selepas dakwaan fitnah yang dilemparkan oleh bekas suami dan keluarganya.





Dalam penutup kenyataannya, MRF Consultant menegaskan bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan maklumat palsu mengenai syarikat dan pemiliknya.
“Kami komited untuk membina kepercayaan dan memastikan bahawa kebenaran mengatasi segala fitnah. MRF Consultant akan terus beroperasi dengan penuh integriti dan profesionalisme demi memastikan matlamat kami untuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat dapat direalisasikan,” tegas kenyataan itu.