Monosterio Pertaruhkan ‘Raya Tak Jadi’
Hampir dua dekad menerobos industri seni tanah air pastinya nama Monosterio sudah tidak asing bagi sebilangan besar peminat mereka. Terkenal sebagai salah satu band indie berpengaruh di Malaysia, akhirnya mereka tampil dengan sebuah lagu raya khusus untuk pendengar.
Mempertaruhkan lagu Raya Tak Jadi sebagai buah tangan terkini, Monosterio menganggap semua ini berlaku secara tidak sengaja apabila diberi peluang oleh pihak produksi untuk menghasilkan naskhah ini.
“Semuanya bermula secara kebetulan apabila Anep yang juga merupakan pemain drum Monosterio membintangi sebuah supertelefilem berjudul Raya Tak Jadi. Apabila projek bermula, Iskandar Jebat yang juga merupakan pengarah ada menyuarakan hasrat untuk mempunyai runut bunyi sendiri (OST).
“Hasil daripada perbincangan itulah yang akhirnya membawa kepada projek ini. Bila dikenangkan kami sendiri pun tidak pernah ada lagu raya, apa salahnya kami cuba setidaknya ia memberikan cabaran baharu kepada band seperti kami,” kata Izan selaku vokalis kumpulan ini.
Selain Izan dan Anep, Monosterio juga dianggotai oleh Alan sekali pemain gitar. Pada dasarnya, mereka baru sahaja menggunakan nama Monosterio setelah hampir dua dekad menggunakan nama O-TWO dalam scene indie.
Bagaikan sebuah kelahiran semula, segala-galanya semakin segar buat mereka bertiga. Dengan jenama baharu, semangat juang mereka juga semakin tinggi untuk menerobos industri muzik secara menyeluruh dengan pelbagai langkah baharu yang telah diatur.
Bercerita mengenai pemilihan lagu raya ini pula, mereka menggunakan lagu hasil tulisan FJ Muzik dan muzik pula adalah hasil kerjasama antara FJ Muzik dan Monosterio sebagai taruhan.
Jelas Izan, mereka perlu memberi penekanan kepada banyak perkara termasuklah menggunakan melodi yang sesuai memandangkan lagu ini turut dijadikan OST supertelefilem Raya Tak Jadi yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Dalam proses mencari idea pada peringkat awal, kami banyak membuat rujukan dengan mendengar lagu-lagu lama termasuklah daripada kumpulan Senario, R. Azmi dan lain-lain lagu. Kita mahu menghasilkan sebuah lagu yang bukan sahaja sedap didengar tetapi juga malar segar.
“Kalau boleh kita mahu sesiapa sahaja yang mendengar akan mengimbau semula kenangan beraya, lemang, ketupat dan sebagainya. Ini sebenarnya cabaran paling besar untuk mana-mana pemuzik bagi menghasilkan sesebuah karya,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharu pula, Monosterio sedang dalam proses pembikinan album baharu yang mengandungi 10 buah lagu baharu selain baharu sahaja terlibat dalam konsert Nidji di Miri, Sarawak, Februari yang lalu.
“Sebenarnya perubahan O-Two kepada Monosterio bagaikan sebuah kelahiran semula. Kami ingin memberi impak serta pembaharuan didalam konsep muzik serta album secara keseluruhan.
“Dengan Monosterio ini kami mulakan semuanya baru termasuk logo, lagu, lirik serta imej yang berbeza. Sebenarnya kita sudah melancarkan single berjudul Monofonik baru-baru ini. Dan untuk album pula, jika tiada aral melintang akan menemui peminat Julai nanti,” kata Izan lagi.
Menariknya, Raya Tak Jadi mendapat kerjasama antara Sheikh Qalam Records dan Sony Music Malaysia itu mula dilancarkan secara rasmi pada 30 Mac lalu.
Muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube Sony Vevo.