October 22, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

monoloQue Dedah Single Terbaharu Menuju Album Tunjuk Langit

Spread the love

monoloQue kembali menggegarkan dunia muzik tempatan dengan pelancaran karya terbaharu berjudul Villa Marhaen (Them Vs Us), sebuah lagu yang sarat dengan alegori sosial serta kritikan halus terhadap jurang kelas dalam masyarakat. Single ini turut menjadi pembuka tirai kepada album penuh ketiga kumpulan tersebut yang bakal diberi judul Tunjuk Langit.

Diilhamkan daripada puisi ikonik Marhaenville karya Sasterawan Negara A. Samad Said, loQue selaku tunjang utama monoloQue menzahirkan semangat puisi itu ke dalam bentuk baharu menerusi Villa Marhaen. Jika Marhaenville menyindir golongan pekerja, Villa Marhaen pula memberi cerminan tentang perbezaan kelas — antara golongan elit dan rakyat marhaen.

Villa Marhaen adalah sebuah alegori. Ia pandangan metafora tentang dua kelas, bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk membiarkan pendengar menilai dan menafsir sendiri,” kata loQue.

Dari segi teknikal, lagu ini menampilkan lapisan bunyi eksperimental yang menjadi identiti monoloQue, digabungkan dengan pola dram hampir ritual, petikan gitar yang berayun antara realisme dan surealisme, serta susunan vokal bergaung seakan suara rakyat yang sering tidak didengari.

Herda ‘Geroda’, pemain bass kumpulan, mengakui komposisi lagu ini agak mencabar:
“Bahagian bass kali ini banyak guna tali keempat, jadi perlukan teknik gelongsor yang agak sukar pada mulanya. Tetapi ia memang unik, dan berbeza dengan karya-karya terdahulu.”

Menurutnya lagi, album baharu ini menampilkan loQue dalam keadaan lebih bebas, tidak lagi terikat dengan batasan, seolah-olah melepaskan semua yang ada dalam dirinya ke dalam muzik.

Sementara itu, Bakri ‘Halia’ Ismail, pemain dram Villa Marhaen, menggambarkan lagu ini sebagai karya yang “berjiwa rakyat”:
“Iramanya joget, mudah untuk orang bergerak dan menari. Lebih mudah dihadam berbanding lagu-lagu eksperimen sebelum ini, tetapi masih mengekalkan roh monoloQue.”

Loko, dram senior monoloQue yang kembali bersama kumpulan, pula menyifatkan lagu ini penuh dengan kritikan sosial:
“Ia mengkritik sistem masyarakat kita, ada mesej yang perlu dirasai. DNA monoloQue tetap ada, walaupun nadanya sedikit berbeza.”

Menariknya, Villa Marhaen turut menampilkan vokal latar oleh kumpulan nasyid kanak-kanak, Farabi, memberi dimensi segar dalam penghayatan lagu.

Secara keseluruhan, Villa Marhaen bukan sekadar lagu baharu tetapi pengalaman bunyi yang sarat dengan simbolisme. Tajuknya sendiri menyatukan imej “villa” yang sinonim dengan elit bersama “marhaen” sebagai lambang rakyat biasa. Gabungan unsur Timur Tengah dalam muziknya hadir secara organik, menambah kekuatan kepada mesej yang ingin disampaikan.

Album penuh Tunjuk Langit yang bakal diluncurkan tahun ini akan menghimpunkan variasi gaya muzik daripada dangdut, joget, balada piano, hinggalah kepada eksperimentasi elektronik. Ia sekaligus meneruskan perjalanan epik monoloQue yang sudah bermula lebih sedekad lalu.

“Baca kontrak sebelum tandatangan,” pesan loQue, memetik bait lirik daripada Villa Marhaen — satu sindiran yang cukup relevan dengan realiti semasa.

Ditubuhkan pada 2009 oleh loQue atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, monoloQue kini memasuki era baharu pasca pandemik dengan barisan anggota yang segar, termasuk Dino ‘Tekukor’ (gitaris), RZQ (vokal latar), serta kembalinya Loko dalam posisi perkusi.

Dengan Villa Marhaen, monoloQue sekali lagi membuktikan muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga wahana untuk menyuarakan suara rakyat marhaen — melalui simbol, seni dan alegori.

Untuk mengikuti perkembangan monoloQue, orang ramai boleh melayari Facebook monoloque, Instagram @monoloquerasmi dan TikTok MonoloQue.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page