MissAlvy Buat Pendengar “Terpikat”
Pempengaruh Media Sosial Popular Hasilkan Single Sulung Bercerita Tentang “Crush” Terbitan Rocketfuel Entertainment
Memiliki rupa paras menarik, berbakat dalam bidang lakonan dan kini terjun pula ke bidang nyanyian, pempengaruh media sosial popular tanah air, Alvynna Joanna Joseph atau lebih mesra dengan panggilan MissAlvy di kalangan pengikutnya di akaun media sosial kini tampil dengan single sulung berjudul “Terpikat” hasil ciptaan barisan komposer muda seperti Nuha Nik, Fahimi Rahmat dan Brendonse7an, manakala terbitan Rocketfuel Entertainment.
“Umpama mimpi menjadi kenyataan, saya tidak menyangka akan menjadi penyanyi satu hari nanti!” luah MissAlvy yang melakonkan watak Siew May, salah satu watak utama dalam drama bersiri “Kelas Tahanan Cikgu Hiragi” terbitan Astro yang sedang meledak di serata Asia Tenggara.
“Menjadi ‘influencer’ dikenali terjadi dengan tidak sengaja. Saya hanya berkongsi gambar-gambar dan video-video untuk tujuan ‘suka- suka’ sahaja. Tapi lama-kelamaan, bilangan pengikut di akaun media sosial bertambah ramai, dan dari situ peluang berlakon pun muncul,” jelas MissAlvy.
Ibarat bulan jatuh ke riba, pelawaan untuk menjadi artis rakaman oleh pihak Rocketfuel Entertainment diterima baik dengan rasa syukur.
“Walaupun saya bermula sebagai seorang ‘influencer’ dan pelakon, muzik sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak kecil lagi. Oleh kerana itu, saya tekad untuk mengejar impian untuk bergelar penyanyi,” kata MissAlvy.
Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Cik Sher Leen Wee dengan visi postifnya menyatakan bakat baharu yang mempunyai bakat semulajadi dalam bidang seni wajar diberikan platform yang sesuai untuk berkarya.
“MissAlvy merupakan bintang baharu Rocketfuel yang kami sunting kerana bakat semulajadi yang dimilikinya. Selain mampu berlakon, dia juga mempunyai suara yang boleh dikomersilkan dan rugi sekiranya bakat beliau disia-siakan.
“Lagu ‘Terpikat’ ciptaan komposer tempatan ini menyerlahkan lagi karakter MissAlvy dalam lagu, dan kami percaya lagu ini mampu memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum kelak,” terang Cik Sher Leen lagi.
Berbalik pada single “Terpikat”, idea tercetusnya lagu ini timbul dari perasaan “crush” MissAlvy.
“Pernah tak kita berdepan dengan momen menyukai seseorang secara diam- diam tetapi tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya? Saya yakin ramai boleh ‘relate’ dengan perasaan itu,” kata MissAlvy.
Lagu “Terpikat” menceritakan tentang perasaan menyukai seseorang yang timbul secara tiba-tiba, tentang rasa keterujaan dan tertarik kepada seseorang, tetapi pada masa yang sama takut hendak mengambil langkah yang seterusnya.
“Kita perlukan individu tersebut dalam hidup kita kerana hanya dengan melihatnya dari kejauhan sudah cukup membuatkan kita gembira!” kata MissAlvy.
Menggabungkan elemen “fun” dan “playful”, lagu ini digarap dalam nuansa pop yang menjadi pilihan pendengar muda masa kini dengan suntikan muzik EDM (electronic dance music).
‘Terpikat’ adalah interpretasi perasaan saya yang diterjemahkan ke dalam lagu. Dari segi konsep, ia merupakan buah hasil kerjasama saya dengan pasukan produksi, banyak idea yang saya curahkan de dalam lagu tersebut kerana kisahnya sangat dekat dengan diri saya sendiri,” kata MissAlvy.
Tempoh yang diambil untuk menyempurnakan “Terpikat” memakan masa hampir setahun. “Agak lama masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan lagu ini kerana hendak mencari material yang betul-betul sesuai dengan jiwa saya. Walaupun ini bukan kali pertama saya memasuki studio rakaman, rasa teruja itu tetap ada.
Yang seronoknya ketika proses rakaman, kesemua tenaga produksi sangat membantu dan banyak memberikan idea yang kreatif, dan apabila saya dengarkan balik lagu tersebut, saya berasa sangat puas hati kerana hasilnya sepertimana yang saya mahukan,” kata MissAlvy.
Walaupun perjalanan seni MissAlvy baharu sahaja bermula, beliau tetap komited memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang dihasilkan, katanya, “Saya masih lagi mempelajari selok-belok bidang muzik dan masih banyak lagi genre yang perlu diterokai.
“Semoga semua pendengar akan ‘terpikat’ dengan lagu ini, dan tersentuh dengan mesejnya. Saya juga berharap agar lagu ini dapat mendekatkan saya dengan peminat semua dan menjadi inspirasi buat semua yang mendengarnya.
Lagu “Terpikat” kini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar pada bila- bila masa melalui aplikasi penstriman utama seperti KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala MV (video) single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.