October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Midnight Fusic Lakar Sejarah Dengan Konsert Perdana “Forevermore 2025” Di Zep Kl

Spread the love

Setelah lebih satu dekad mencipta nama sebagai antara kumpulan rock alternatif paling menonjol di Malaysia, Midnight Fusic bersedia melakar detik bersejarah menerusi konsert sulung berskala besar mereka, “Midnight Fusic Forevermore 2025”, yang akan berlangsung pada 14 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang dianjurkan oleh OYOLLO ASIA ini bakal menjadi kemuncak sambutan ulang tahun ke-10 kumpulan tersebut dan menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan muzik mereka.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah perayaan kreativiti, identiti belia dan bakat tempatan yang berpotensi besar untuk menembusi pentas global,” ujar Kenny Wong, Pengarah Urusan OYOLLO ASIA. “Kami berbangga menjadi sebahagian daripada momen penting dalam kerjaya Midnight Fusic.”

Ditubuhkan pada tahun 2013, Midnight Fusic yang dianggotai oleh Arif Kamarudin (vokal, gitar), Adrian Danial (vokal, gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram) telah mengumpul peminat setia melalui muzik mereka yang menggabungkan unsur rock alternatif dan pop moden, lengkap dengan vokal emosional dan melodi dinamik.

Sepanjang tahun 2024, mereka aktif menjayakan pelbagai persembahan termasuk Riuh, MLBB 8th Anniversary Music Party, YSL Beauty, Zus: Lokal Kasi Vocal serta konsert Last Dinosaurs: Live in KL. Kumpulan ini turut membawa muzik mereka ke pentas antarabangsa menerusi Incheon Record Platform 2024 dan Newtro Rhythm Global Music Tour 2024 di Korea, serta pernah tampil di We The Fest (Indonesia) dan Bay Beats (Singapura).

Kemunculan EP terbaharu bertajuk Modus Operandi (23 Mei 2025) mengukuhkan lagi reputasi mereka sebagai band yang berkembang secara matang dan konsisten. Ia merupakan lanjutan kepada perjalanan muzik yang bermula dengan album sulung self-titled mereka (2021) dan lagu pertama dalam Bahasa Melayu, Sandiwara (2020), yang membuka lembaran baharu buat mereka.

“Ini bukan sekadar konsert. Ia satu lembaran baharu dalam perjalanan kami. Kami hadir dengan senarai lagu, visual dan pengalaman yang segar,” kata Arif, vokalis utama kumpulan.

Sementara Muaz, pemain dram, menambah, “Kami reka susunan lagu dengan naratif yang membawa penonton menyusuri kisah kami. Bila lagu pertama dimainkan, saya bayangkan semua akan tenggelam dalam satu momentum yang sama – rentak, rasa dan emosi.”

Adrian dan Firdaus pula menyimpulkan: “Raikan 10 tahun kita bersama. Midnight Fusic — Forever and More!”

Tiket konsert Midnight Fusic Forevermore 2025 akan mula dijual bermula 14 Julai 2025 jam 3 petang melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my dengan harga berserta kategori Modus Operandi (Cat 4 – Free Standing): RM134, W.L.W.A (Cat 3 – Free Standing): RM174, Time Machine (Cat 2 – Numbered Seating): RM224, Sandiwara (Cat 1 – Free Standing): RM224, Caramel Cream (VIP – Free Standing): RM294 dan Cahayaku (VIP Box – RM3,844 / 10 pax)

Untuk maklumat lanjut dan keistimewaan bagi setiap kategori tiket, peminat boleh mengunjungi laman media sosial rasmi @Oyollo.asia dan @midnightfusic.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page