October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Metal Fighter: Pertembungan Dua Legasi, Dua Jiwa

Spread the love

Kredit Foto:  PaPaDin

Satu malam yang diingati sebagai sebuah pesta bunyi berat penuh sejarah. Konsert Metal Fighter bukan sekadar menyatukan dua kumpulan ikonik , FTG dan Sofea Legacy (yang pada malam tersebut tampil dengan nama baharu, Sofea Anak Liar) tetapi menjadi titik pertembungan dua roh muzik: thrash metal yang agresif dan rock yang penuh semangat pemberontakan.

Seawal pintu dewan dibuka, aura fanatisme sudah terasa. Peminat datang bukan hanya untuk menyaksikan sebuah showcase, tetapi untuk merayakan perjalanan muzik yang pernah membentuk mereka. Sorakan dan lautan ‘metalhead’ bert-shirt hitam menjadikan Warisan Hall pada 16 Ogos lalu seperti sebuah lokasi untuk pemujaan rock dan metal.

Tepat jam 8.30 malam, pentas menyala dengan kemunculan Sofea Legacy. Fancy (gitar pertama), Jay (gitar kedua), R’man (bass), Dauz (dram), dan Mie (vokalis) yang lantang menguasai dewan. Mereka membuka tirai dengan Garisan di Persimpangan, Lahanat dan Kawasan Larangan. Setiap bait lirik, setiap petikan gitar, disambut dengan sorakan yang membelah ruang.

Menariknya, mereka tidak hanya bersandar pada katalog lama. Fancy, yang menjadi tunjang kreatif, memperkenalkan karya baharu bertajuk Bidadari serta Sejati  sekaligus menunjukkan Sofea tidak sekadar bernostalgia, tetapi terus menulis bab baharu dalam kanvas muzik mereka. Elemen keyboard daripada Ujang menambah tekstur unik, memperkayakan bunyi mereka dengan dimensi baharu.

Namun, kejutan terbesar adalah pengumuman penjenamaan semula. Di hadapan ratusan saksi, Sofea Legacy secara rasmi menukar nama kepada Sofea Anak Liar. Satu simbol keberanian untuk melangkah keluar daripada bayangan lama, sekaligus memaknakan semangat bebas mereka.

Klimaks persembahan datang saat Mie berkongsi pentas dengan Tajul (FTG) untuk lagu Hati Syaitan. Pertembungan dua vokal, dua genre, dua jiwa mungkin inilah roh Metal Fighter yang sebenar. Peminat bersorak seolah-olah menyaksikan sebuah ritual muzik yang mustahil dilupakan.

Selepas kehangatan Sofea Anak Liar, giliran FTG pula menyalakan bara. Dari saat Tajul, Mie (bass), Jemboo dan Zoe (gitar), serta Megat (dram) melangkah ke pentas, riuh rendah penonton mencapai tahap maksima. Lagu From The Grave, Malaysia Maju, Anak Tiri, dan Kita Bukan Anjing meledak bagaikan letupan, dengan setiap riff dan hentaman dram mengundang deretan headbanging tanpa henti.

Tajul, dengan karisma luar biasanya, bukan sekadar memimpin vokal. Beliau menguasai pentas dengan aksi spontan yang mencuit hati termasuk ketika FTG menyelitkan lagu rakyat Enjit Enjit Semut, membuatkan seluruh dewan bersatu menyanyi dengan senyum di wajah.

Mereka tidak lupa sisi sentimental. Ketika Keluhan Perantau (lagu asal Jamal Abdillah) dipersembahkan, suasana berubah hening. Seluruh dewan mengalun bersama, membuktikan metal bukan sekadar tentang kekerasan bunyi, tetapi juga pengisian emosi yang mendalam. Air mata dan suara bercampur, mencipta momen yang menyentuh jiwa.

FTG kemudian kembali ‘mengganas’ dengan Keliru, Askar, Rozana, Aku Tak Peduli, Army of God dan menutup tirai dengan Kau Jangan Kurang Ajar. Malam itu, mereka bukan sekadar menghibur, tetapi mengingatkan mengapa nama FTG terus terpahat sebagai legenda thrash metal tanah air.

Di sebalik gegak gempita malam itu, terselit juga jiwa murni. Penganjur, Mohamed Noor Mustapha atau Mentari Merah, menyumbangkan sebahagian hasil jualan tiket kepada keluarga Allahyarham Zam (Mohd Nizam Mohd Sharif), pemain dram asal FTG yang telah pergi meninggalkan legasi besar. Ia melengkapi semangat berhibur sambil beramal yang menjadi nadi Mentari Merah Entertainment.

Metal Fighter bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah pertemuan dua legasi, dua generasi, dua dunia muzik yang berbeza tetapi berkongsi semangat sama: kejujuran, keberanian, dan cinta terhadap muzik berat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page