Melodi Malam 2.0 Himpun Nadin Amizah, Feby Putri
Dua penyanyi popular Indonesia, Nadin Amizah dan Feby Putri, bakal membuat persembahan sepentas buat pertama kali di Kota Kinabalu menerusi konsert Melodi Malam 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini.
Konsert tersebut akan diadakan pada jam 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC) dan dijangka menghimpunkan peminat kedua-dua penyanyi yang terkenal dengan karya puitis serta sarat emosi.
Acara berkenaan dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment, sebuah syarikat penganjuran acara yang memberi tumpuan kepada persembahan hiburan langsung yang berkualiti serta berunsur artistik.
Menurut Pengarah Urusannya, Amar Syah, penganjuran Melodi Malam 2.0 bertujuan membawa pengalaman muzik yang lebih dekat dengan peminat di Borneo, khususnya di Kota Kinabalu.

“Melodi Malam 2.0 kami hadirkan sebagai sebuah pengalaman muzik yang lebih peribadi, dekat dan bermakna buat penonton. Kami percaya gabungan Nadin Amizah dan Feby Putri di atas satu pentas adalah sesuatu yang sangat istimewa.
“Lebih penting, ini merupakan kali pertama kedua-dua artis ini tampil sepentas di Kota Kinabalu dan kami yakin ia akan menjadi malam yang sukar dilupakan oleh peminat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kedua-dua penyanyi dari Indonesia itu dikenali menerusi lagu-lagu yang dekat dengan jiwa pendengar, selain menampilkan gaya muzik yang unik serta penuh penghayatan.
Nadin Amizah turut menyatakan keterujaannya untuk akhirnya bertemu peminat di Kota Kinabalu melalui sebuah persembahan istimewa.
“Saya sangat senang akhirnya dapat hadir ke Kota Kinabalu dan berkongsi lagu-lagu saya secara langsung dengan peminat di sana. Setiap kota punya rasa yang berbeza dan saya percaya malam di Sabah nanti akan menjadi salah satu pengalaman yang indah,” katanya.

Tambahnya lagi, peluang berkongsi pentas bersama Feby Putri menjadikan persembahan tersebut lebih bermakna.
Sementara itu, Feby Putri menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu momen yang telah lama dinantikan.
“Saya gembira kerana akhirnya dapat membawa muzik saya ke Kota Kinabalu. Saya tahu ramai yang sudah lama menantikan persembahan ini dan saya harap Melodi Malam 2.0 akan menjadi malam yang penuh rasa, hangat dan dekat di hati semua yang hadir,” ujarnya.
Dengan konsep yang menonjolkan keindahan muzik dan emosi, Melodi Malam 2.0 bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi juga sebuah acara yang meraikan hubungan antara karya, penyanyi dan penonton.
Tiket bagi konsert tersebut dijual pada harga RM229 bagi kategori Kembali Sorai (Free Standing) dan boleh didapati menerusi laman web rasmi myticketempire.com bermula 13 Mac ini pada jam 12 tengah hari.
