November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Melodi Catchy Syayangku Karya Terkini Wanns Ahmad

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Mulanya dikenali menerusi lagu “Terus Mencintaimu” pada tahun 2015, sebuah lagu balada melankolik yang mempertaruhkan nada cinta manis dan romantis. Salam kenal yang dihulur pemilik nama asal Wan Nursalam Wan Ahmad pada ketika itu disambut baik bagaimanapun panas tidak berpanjangan. Rezeki beliau lebih banyak tertumpu di bidang lakonan dan namanya semakin melonjak naik apabila membintangi drama, Jangan Menangis Cinta.

Kini setelah hampir 10 tahun menyepi, Wanns Ahmad kembali viral bersama buah tangan paling latest yang lebih fun dan catchy hasil karya ciptaan melodi dan lirik oleh Wanns sendiri sepenuhnya. Itulah keunikan Wanns bukan saja boleh menyanyi dan berlakon, malah berbakat besar mencipta lagu dan menulis lirik. Pakej lengkap bergelar penghibur, apatah lagi bijak berbicara, Wanns sebenarnya mampu pergi lebih jauh. Karektor beliau yang humble memberi cerminan repertoire yang baik dalam perjalanan karier seni beliau pada usia muda 32 tahun.

“Apabila diberitahu lagu Syayangku terpilih menjadi lagu OST bagi drama Surat Dari Tuhan, ianya adalah satu kegembiraan yang tak terungkapkan. Saya memanjatkan syukur dan berasa sangat besar hati dapat berkongsi lagu terbaru ini dengan semua peminat setia yang menunggu hampir 10 tahun selepas single pertama saya dulu.” ujar Wanns ketika ditemui di sidang media Majlis Pelancaran Single ‘Syayangku’ anjuran NSR Music pada petang 6 Februari lalu, bertempat di RedBox, The Gardens.

Menurut Wanns lagi, “Perasaan terhadap seseorang yang membuat kita jatuh cinta terluah melalui lagu Syayangku ini. Sebuah kisah benar yang saya adaptasikan dari perbualan bersama sahabat baik saya yang bercerita tentang seorang gadis telah hadir dalam mimpinya 30 tahun yang lampau. Gadis tidak dikenali, entah siapa, pada fikirannya mungkin tidak wujud dan hanya mainan tidur. Namun siapa sangka 30 tahun kemudian gadis itu benar-benar wujud di hadapan mata.” Kedengaran tidak realistik, empunya diri juga bagai tidak percaya. Gadis bernama Sya muncul, saling tak tumpah seperti gambaran gadis yang hadir dalam mimpi 30 tahun lalu.

Maka terhasil lah Syayangku, diambil simbolik bersempena nama gadis itu, Sya. Wanns Ahmad yang disifatkan oleh sahabatnya itu sebagai ‘satu kepala’ dengan beliau telah mencipta satu melodi catchy yang berjaya mengekspresikan perasaan bahagia serta tidak percaya di atas penemuan yang dianggap aneh itu. Benar bagai dikata, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Sahabatnya kini bahagia bersama Sya, dan Wanns Ahmad masih tercari-cari Syayang untuk dirinya sendiri pula. Usikan itu disambut gelak ketawa.

“Selain dari itu, saya juga turut menyelitkan sedikit tunjuk ajar melalui lagu Syayangku ini, agar lebih berani meluahkan isi hati kepada seseorang. Tak kiralah diterima atau kena reject, beranikan saja diri.” tambah Wanns lagi. Berpenampilan santai pada petang itu dengan cardigan kelabu dan jeans biru, beliau menyambung bercerita “Lagu Syayangku ini juga dicipta untuk meraikan semua wanita terutama yang berkongsi nama Sya dan untuk mereka yang pelat dan menghadapi kesukaran menyebut hurut ‘S’. Syayang kedengaran lebih comel lagi kan?”

Telah dilancarkan pada 18 November 2023 yang lalu di YouTube NSR Malay, muzik video rasmi Syayangku telah mencapai lebih 145,000 jumlah tontonan sehingga kini. Turut berkebolehan mengarah dan menyunting sendiri muzik video tersebut mengklasifikasikan Wanns Ahmad sebagai artis versatile serba boleh. Anak muda yang bercita-cita tinggi dan bersemangat untuk berada lebih lama dalam industri seni ini sedang gigih mempersiapkan lagu-lagu terbaharu yang kebanyakan sedang dalam proses pembikinan, selain sibuk menguruskan kerjaya dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

“Saya merancang untuk mengeluarkan mini album atau EP, sekurang-kurangnya memuatkan 5 buah lagu.  Atas sokongan dan dorongan yang positif dari peminat melalui lagu “Terus Mencintaimu” dan “Syayangku”, saya mahu kekalkan momentum tersebut dengan segera menghasilkan sebuah EP. Kesemua lagu-lagu ciptaan saya dan bakal keluar tidak lama lagi.” jelas anak muda kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang ini dengan begitu antusias sekali. Syayangku boleh didengar dan dihayati di semua platform muzik digital.

Berkesempatan melihat Wanns Ahmad berdendang secara live pada petang itu, melodi catchy Syayangku membuatkan sesiapa yang mendengar akan dapat terus sing-along meskipun pertama kali mendengarnya. Muzik rancak pop-rock ini membuat kepala turut bergoyang sama. Wanns Ahmad dikatakan akan mengadakan persembahan bersama Charly ST12 tidak lama lagi, tidak hairanlah suara beliau juga kedengaran mirip seperti stail Charly yang menjadi idola beliau sejak kecil.

Turut berbesar hati apabila dilantik menjadi Duta Jaxer bagi sistem terbaru iaitu Student QR atau Lencana Digital Madani, Wanns berkongsi “Alhamdulillah, terima kasih buat Jaxer kerana mempelawa saya untuk bekerjasama menjayakan satu sistem baru yang akan dilancarkan di semua sekolah yang ada di Malaysia, bahkan di Indonesia dan Jepun telah menggunakan sistem ini.” Diminta mengulas lebih lanjut tentang sistem Student QR ini, Wanns menyambung cerita “Ianya adalah satu penyelesaian buat semua para ibubapa, guru dan pelajaran yang selama ini menghadapi kerisauan dan kebimbangan terhadap akademi, keselamatan dan sahsiah anak-anak. Lencana Digital Madani ini akan membantu menyelesaikan 3 permasalahan ini dengan membina sahsiah individu yang berakademi dan bermoral.”

Selain dari itu, Wanns Ahmad juga pernah dilabelkan sebagai kembar Zizan Razak. Sedikit stress pada mulanya kerana mahu dikenali dengan identiti sendiri, Wanns kini meraikan saja apapun gelaran yang diberi kepadanya dengan mengambil pendekatan positif dalam usaha mempromosikan hasil karya dan kerja seni beliau di tanah tumpah darahnya sendiri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page