January 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Masuk Percuma, LOUD BLAST FEST Satukan Ikon & Bakat Rock Tempatan di Star Avenue

Spread the love

Oleh: Jorn Seth

Peminat muzik rock tempatan bakal disajikan dengan sebuah festival berskala besar tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos apabila LOUD BLAST FEST diumumkan bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Tapak Karnival Star Avenue Lifestyle Mall, dengan kemasukan percuma untuk semua pengunjung.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, festival ini dilihat sebagai antara inisiatif penting dalam menghidupkan semula budaya muzik rock tempatan secara inklusif, sekali gus membuka ruang kepada peminat daripada pelbagai lapisan usia untuk menikmati persembahan secara langsung tanpa halangan harga tiket.

Menurut penganjur Rockstage Entertainment, penganjuran LOUD BLAST FEST secara percuma adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan muzik rock kekal dekat dengan masyarakat.

“Kami mahu muzik rock dapat dinikmati oleh semua, tanpa mengira latar belakang dan kemampuan. Dengan kemasukan percuma, kami berharap LOUD BLAST FEST dapat menjadi platform yang menyatukan peminat lama dan generasi baharu dalam suasana yang terbuka dan mesra komuniti,” ujar Talib Othman selaku Pengarah Rockstage Entertainment.

LOUD BLAST FEST menghimpunkan barisan artis berpengaruh dan berpengalaman dalam sejarah muzik rock Malaysia antaranya Dinamik dan Ukays, dua nama besar yang pernah mencorakkan landskap muzik arus perdana dan rock tanah air. Turut memeriahkan festival ini ialah Rusty Rabak, Selipar Jepun, UR’S, F.O.R, Silverchain dan Startegy, menjadikan festival ini sebuah persembahan menyeluruh yang merangkumi pelbagai aliran dan generasi muzik rock.

Tambah penganjur, pemilihan barisan artis dibuat secara seimbang bagi memastikan festival ini mampu menarik minat pelbagai kelompok penonton.

“Kami menyusun barisan artis yang mewakili pelbagai era dan aliran rock tempatan. Ia bukan sahaja memberi ruang kepada nostalgia, tetapi juga memperkenalkan band berpengaruh kepada penonton yang lebih muda,” jelasnya.

UKAYS

Festival ini akan bermula seawal tengah hari dengan segmen Battle of the Bands, yang berfungsi sebagai platform pencarian dan pendedahan bakat baharu dalam arena rock tempatan. Segmen ini memberi peluang kepada band-band muda untuk mempersembahkan karya dan kebolehan mereka di hadapan penonton yang lebih luas, termasuk pemain industri dan peminat setia muzik rock.

Mengulas mengenai segmen tersebut, penganjur menyifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang terhadap masa depan muzik rock tempatan.

“Battle of the Bands adalah nadi kepada kesinambungan rock tempatan. Kami mahu memberi peluang kepada bakat baharu untuk merasai pengalaman pentas sebenar dan berinteraksi terus dengan komuniti,” katanya.

Menjelang petang hingga malam, pentas utama LOUD BLAST FEST akan terus dipacu dengan persembahan artis utama yang dijangka membawa penonton melalui pengalaman muzik penuh tenaga, emosi dan elemen nostalgia. Gabungan artis legenda dan band berpengaruh dijangka mencipta suasana festival yang meriah dan bertenaga sepanjang hari.

Dengan sokongan Star Avenue Lifestyle Mall selaku lokasi penganjuran serta penglibatan aktif komuniti muzik tempatan, LOUD BLAST FEST dijangka menarik kehadiran pengunjung yang ramai, bukan sahaja dalam kalangan peminat rock tegar, malah pengunjung keluarga dan orang awam yang ingin menikmati hiburan percuma.

Penganjur turut berharap festival ini dapat menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.

“Kami melihat LOUD BLAST FEST sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Jika sambutan menggalakkan, tidak mustahil festival ini akan dijadikan acara tahunan yang terus memperkasa muzik rock tempatan,” katanya.

Pada 24 Januari 2026, Star Avenue dijangka menjadi tumpuan apabila dentuman muzik rock mengambil alih ruang kota, menyatukan peminat lama dan baharu dalam satu perayaan muzik tanpa sempadan dan yang paling penting, percuma untuk semua.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page