Mas Idayu Kembali Dengan Single Baharu “Harum Mekar Di Hati”
Penyanyi serba boleh Mas Idayu kembali memeriahkan industri muzik dengan pelancaran single terbaharunya, Harum Mekar Di Hati. Lagu yang dinanti-nantikan ini dilancarkan secara rasmi pada 6 Disember lalu di semua platform digital, menerima sambutan hangat daripada peminat setia yang sudah lama menunggu kemunculan karya baharu beliau.
Menariknya, lagu ini menandakan kolaborasi pertama Mas Idayu dengan komposer terkenal, Ajai. Liriknya pula ditulis oleh Raizo Almirez. Bagi Mas Idayu, kerjasama ini merupakan satu pencapaian bermakna setelah sekian lama mengenali Ajai.
“Kami sudah berkawan sejak berpuluh tahun lalu, tetapi baru kali ini kami berpeluang untuk bekerjasama. Saya sangat gembira dengan hasilnya. Lagu ini sangat istimewa, dan itulah sebabnya saya begitu teruja untuk merakamkannya,” ujar Mas Idayu.
Yang lebih menarik, Harum Mekar Di Hati bukanlah berentak dangdut seperti yang sering dikaitkan dengan Mas Idayu, tetapi sebuah lagu pop rock. Genre ini sebenarnya lebih dekat dengan hati penyanyi versatil ini sejak awal kariernya, meskipun irama dangdut menjadi punca namanya melonjak di persada muzik.
“Ajai tahu saya mampu menyanyikan pelbagai genre, jadi beliau memilih pop rock untuk menyerlahkan sisi lain saya sebagai seorang penyanyi. Saya percaya kepada karya Ajai, dan jika lagu ini diterima baik, mungkin kami akan bekerjasama lagi pada masa akan datang,” tambahnya.
Menurut Ajai, keputusan memilih pop rock adalah untuk memberikan cabaran baharu kepada Mas Idayu.
“Mas Idayu adalah nama besar, dan saya mahu dia mencuba sesuatu yang berbeza. Dia berjaya menyesuaikan penampilan dan gaya nyanyiannya dengan genre ini. Harum Mekar Di Hati adalah tambahan yang berharga kepada repertoire beliau, dan saya yakin lagu ini mampu menarik peminat baharu sambil mengekalkan sokongan peminat sedia ada,” kata Ajai.
Pelancaran muzik video rasmi Harum Mekar Di Hati diadakan di Red Box Karaoke, The Curve. Lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music. Peminat boleh menonton muzik video ini di saluran YouTube rasmi Indigital Music.
Mas Idayu membuktikan sekali lagi bahawa versatiliti beliau sebagai seorang penyanyi tidak boleh disangkal, dan Harum Mekar Di Hati menjadi bukti terbaru keupayaan beliau untuk terus relevan dalam industri.