February 25, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Marshall Lancar Emberton III Edisi Terhad Sempena Tahun Baharu Cina 2026

Spread the love

Jenama audio ikonik dari Britain, Marshall Amplification memperkenalkan Emberton III Lunar New Year Edition 2026, pembesar suara edisi terhad yang dihasilkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi kolaborasi bersama artis visual dari China, FCCK.

Pelancaran model edisi khas ini menjadi sebahagian daripada kempen “Live Unbridled” oleh Marshall yang diinspirasikan daripada frasa Cina 缰野马 (tuō jiāng yě mǎ) yang membawa maksud kuda liar yang terlepas daripada kekangannya dan melambangkan kebebasan tanpa batasan serta tenaga yang tidak boleh dibendung dalam menjalani kehidupan seharian.

Emberton III Lunar New Year Edition 2026 tampil dengan rekaan seni eksklusif oleh FCCK yang terkenal dalam dunia muzik dan vinil di China. Dikenali dengan penghasilan ilustrasi album serta reka bentuk kulit piring hitam yang berani dan eksperimental, FCCK menggabungkan elemen ilustrasi, corak grafik dan tipografi bagi menghasilkan identiti visual unik pada pembesar suara ini.

Hanya 50 unit akan ditawarkan di pasaran Malaysia, menjadikannya antara koleksi eksklusif sempena musim perayaan tahun ini. Pembesar suara mudah alih ini mengekalkan kualiti bunyi ikonik Marshall dalam pakej kompak yang sesuai digunakan ketika kunjungan rumah, perhimpunan keluarga mahupun sesi santai sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Model edisi terhad ini akan mula dijual pada 7 Februari 2026 secara eksklusif di Against Lab Pudu sama ada di kedai fizikal mahupun dalam talian menerusi againstlab.com sehingga habis stok.

Bagi memeriahkan pelancaran, Against Lab turut menganjurkan bengkel penyesuaian couplet eksklusif sebagai penghormatan kepada tradisi Tahun Baharu Cina menampal couplet peribadi pada bingkai pintu rumah sebagai simbol tuah dan harapan baik menjelang tahun baharu.

Berbeza dengan pelancaran runcit Marshall sebelum ini yang lazimnya melibatkan rangkaian kedai di seluruh negara, pelancaran Emberton III Lunar New Year Edition 2026 mengambil pendekatan lebih terarah dengan mengetengahkan elemen seni, kreativiti dan ekspresi budaya dalam satu ruang komuniti yang meraikan pertembungan muzik dan seni visual.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page