Manis dan Ikhlasnya Konsert Tiba Masa
Oleh: Zizi Hashim
Bysnc Live telah berhasil menyelenggarakan sebuah pertunjukan mahakarya seorang Datuk Zainal Abidin bagi meraikan 4 dekad lamanya beliau di dalam industri muzik tanahair. Jangkamasa yang sebegitu lama menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuatkan saya begitu teruja dan tidak sabar. Bertempat di Istana Budaya berkapasiti 1500 orang, malam 30 September menyaksikan pecah panggung! Full house! Terkenal dengan kebolehan versatile, Datuk Zainal Abidin (DZA) memukau hadirin bukan sahaja dengan kemantapan vokal dan lagu-lagu evergreen beliau, malah saya turut menyelami sisi lain beliau iaitu seorang yang sangat kelakar dan kuat bergurau. Semua yang hadir tak kering gusi dibuatnya.
Berdirinya beliau di tengah pentas, dengan gaya santai dan bersahaja, memulakan malam dengan lagu “Memori Luka” sebagai pembuka tirai Segmen Pertama. Kelihatan kesemua line-up asal Headwind seperti Zulkif (gitar), Kudin (kibod), Nicky Ooi (bass) dan Razak (dram) turut menemani mengiringi lagu-lagu kenangan yang mengimbas awal kemunculan mereka pada tahun 1977 dibawah naungan Polygram Records. “Hanya Di Radio” lagu yang memperkenalkan mereka berkumandang sejurus selepas DZA menyakat kawan-kawan nya dengan lawak jenaka yang membuat hadirin cukup terhibur. Interaksi dengan audiens juga menjadi trademark beliau, “Lagu apa lagi kamu nak dengar?” sebelum memenuhi permintaan “Suraya”, “Pelangi”, “Segalanya Mungkin” dan lagu wajib Headwind “Kita Serupa” bergema disahut tepukan gemuruh. Rasa tak puas, sikit sangat tapi ini bukan konsert Headwind – maka kena lah tunggu lain kali pula.
Lampu di malapkan seketika. DZA muncul dengan trademark zaman muda nya, baju tshirt putih kosong, rantai manik hitam, seluar jeans levis biru kepala kain lipat di bawah. Tampak segak pada usia 64 tahun, DZA masih maintain muda dari usia sebenar dan bertenaga luar biasa. Kita beralih ke Segmen Kedua. Barisan pemuzik iringan yang lain mengisi pentas, bukan lagi Headwind, turut berpakaian tona warna serupa. Pemuzik iringan yang sangat professional dan otai seperti Steve Thornton, Lewis Pragasam, Mac Chew dan Michael Veerapan yang di sakat oleh DZA sebagai ‘Dinosaur’ kerana usia emas mereka. Berhambur gelak ketawa audiens, DZA memang sangat nakal menyakat semua di pentas. Pun begitu, nada vokalnya begitu sedap sekali kedengaran ketika melantunkan “Senang Senang”, “Sabar” dan “Bongkar” – lagu yang dipetik dari album solo beliau pada tahun 1991. Saya membesar dengan lagu-lagu album beliau, maka setiap lagu membuatkan saya cukup terhibur dan sing-along.
Medley lagu-lagu “Inayah”, “Baba”, “Telaga”, “Damai” dan “Debu Liar” mengisi slot seterusnya. DZA berseloroh mengatakan isteri nya memberi isyarat kurangkan bercakap kerana waktu sudah overrun. Beliau membalas “Kalau overrun, bayar aje lah overtime!” di sambut gelak ketawa seluruh ruang Istana Budaya. Saya sukakan pendekatan yang diambil DZA ini kerana merasa lebih mesra dan lebih intimasi bersama peminat. Kita dapat rasa betapa friendly nya DZA ini dan tidak segan silu untuk menari dan menyanyi bersama beliau apabila diajak berdiri dan menikmati muziknya. Secara peribadi lagu kegemaran saya “Manis” dialunkan, kesemua bangun menari bersama mengikut rentak reggae yang catchy. Seronok dan meriah, seakan tidak mahu konsert berakhir. Segmen Kedua ditutup dengan instrumental “Khayalan”. Terselit slot tribute buat Allahyarham Adibah Noor, diiringi alunan biola bagi lagu “Terlalu Istimewa” mengundang sebak semua yang hadir. Al-fatihah.
Istana Budaya serius seketika ketika lagu “Tiba Masa” dipersembahkan. Single terbaru DZA ini turut mengenengah konsep World Music yang lebih kurang serupa dengan lagu-lagu beliau sebelum ini. Ketika DZA menghilang di sebalik pentas, gamat panggung sari bersorak mahukan lebih lagi. “Hijau! Hijau! Hijau!” bergema seluruh panggung. Tidak lengkap sekiranya lagu itu tidak tersenarai dalam seleksi malam itu. Semua hadirin tidak berganjak. Akhirnya “Hijau” menghangatkan suasana malam. Lagu malar segar ini memang sentiasa dihati. Lagu wajib dan trademark DZA. Saya jangka itu lagu penutup tetapi saya silap, ada satu lagu lagi yang wajib. “Ikhlas Tapi Jauh” merupakan kemuncak malam dan menyaksikan DZA menjemput kawan baik nya, Datuk Afdlin Shauki naik ke pentas untuk duet bersama. Sememangnya menggamit memori, kemeriahan yang terasa membuat semua cukup terhibur. Sorakan dan tepukan gemuruh tak henti-henti.
Begitu manis dan ikhlasnya sebuah konsert dari seorang yang berjuang lebih dari 40 tahun dalam industri. Syabas Datuk Zainal Abidin! World Music Datuk memang world class, masih tetap relevan dan in-trend serta sentiasa dinanti-nantikan.