November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Manifesto ‘Und3rground’ Terus Dijulang Bunkface, Hujan dan Butterfingers

Spread the love

Foto Kredit:  Maestro Ridhwan

Tidak perlu dinafikan kewibawaan ‘trio’ yang bermula di pentas bawah tanah, gig-gig berskala kecil kini mampu menarik nafas lega setelah ‘jenama’ yang di ilhamkan kini menjadi besar di pentas muzik arus perdana.  Tidak hairanlah mengapa Bunkface, Hujan dan Butterfingers mempunyai bilangan peminat setia yang cukup ramai sehingga mampu menarik perhatian penganjur.

Justeru itu, pihak Hitman Solutions telah menggabungkan ketiga-tiganya di atas sebuah pentas yang boleh diklasifikasikan cukup epik menerusi konsert ‘Und3rground’ yang telah berlangsung di Surf Beach Sunway Lagoon pada 2 Mac lalu.

Bunkface, Hujan dan Butterfingers telah mengimpunkan lebih 6000 peminat di lokasi yang cukup ikonik selain sistem bunyi serta penataan cahaya yang melatari persembahan.

Tepat jam 8.40 malam, tirai konsert dibuka dengan persembahan Butterfinggers iaitu Vio Pipe, Hujan- Luka Mana dan Bunkface dengan Bunk Anthem.  Kehadiran 3 band yang mewakili 3 generasi di atas satu pentas sudah pasti membuat adrenalin ‘Raingers’, ‘Royal Butter’ dan ‘Bunkers’ mengalir deras setelah kedinginan melanda akibat hujan yang turun sebelum konsert berlangsung.

Pentas kemudiannya diserahkan kepada Bunkface yang terus mengharukan situasi yang seakan ‘histeria’ namun masih terkawal.  Mereka memperdengarkan lagu Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza dan sebuah lagu lama iaitu High School Rocker.  Ketika enak dibuai melodi punk rock garapan Bunkface, muncul masalah teknikal yang ‘membunuh’ sistem audio.

Sam cukup bijak mengawal keadaan lantas memberitahu crowd yang hadir bahawa perkara sebegitu sudah biasa di alami sewaktu menyertai gig-gig sebelum ini. Usai masalah diperbaiki Bunkface terus bermelodi dengan  Rentak Laguku, Darah Muda, Panik dan Situasi.  Vokal Sam yang seiiring dengan khalayak sudah pasti memberikan kepuasan maksima.

Hujan juga tidak kurang hebatnya, sudah pasti para ‘Raingers’ menantikan persembahan energatik yang diselami jiwa amarah.  Hujan menyampaikan lagu Perindu Kalbu dan Jiwa Kelajuan sebelum Noh menyapa peminat.

“Malam ini, ayuh lepaskan 150 persen jiwa kemarahan korang”, ujar Noh sebelum meneruskan persembahan dengan Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi,Dugaannya dan Empayarmu yang menutup persembahan Hujan,

Butterfingers yang menggalas tugas sebagai ‘headliner’ ternyata cukup teliti dalam pemilihan lagu apatah lagi melayani setiap permintaan ‘Royal Butter’ yang pelbagai karenah.  Pengalaman ‘pelopor’ muzik grunge di Malaysia ini terlebih dahulu menghadiahkan Kabus Ribut.  Lagu yang cukup lama malah jarang dipersembahkan secara ‘live’ menjadi sandaran.

Sesuatu yang tidak terjangka apabila Hujan turut berada di pentas lantas membawakan Kembara,  mereka kemudiannya bersatu bersama Butterfingers menerusi Ngilu dan Obsesi.  Mungkin inilah ‘epik’ yang diterapkan menerusi konsert ‘Und3rground’.

Butterfingers terus bermaharajalela di pentas dengan rangkaian lagu-lagu seperti Royal Jelly, Moksha, Garden City of Lights, Chrome, Girl Friday, Faculties of The Mind, Selamat Tinggal Dunia Taman Tasik Perdana dan Tentang Tentang.

Kemunculan semula Bunkface menjadi tanya tanya buat ‘Bunkers’, mereka tampil dengan lagu Revolusi.  Sementara itu Hujan menutup edisi ‘Und3rground’ dengan lagu Aku Scandal.

Showcase ‘Und3rground’ ini di adakan adalah bagi meraikan ulangtahun ke 15 penubuhan Hitman Group.  Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, En. Rohit Rampal, menyatakan bahawa  ianya adalah penghargaan kepada perjalanan perniagaan yang mereka terajui dengan kerja keras yang telah diusahakan selama beberapa dekad ini yang selari dengan pengalaman band-band yang terlibat dalam showcase ini.

“Ia adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan yang telah diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, disamping menyediakan platform untuk pengusaha bebas”, ujar Rohit Rampal dalam satu kenyataan.

“ Kami menggabungkan showcase UND3RGROUND dengan sambutan ulang tahun ke-15 ini yang merangkumi segala aspek perkhidmatan yang kami sediakan, dari pengurusan acara, penerbitan acara, sehingga rangka promosi showcase, kepada pakar teknikal AV (audiovisual), pemasaran dan juga reka bentuk, bagi memberikan yang terbaik”,

“Saya amat bersyukur dan berbangga dengan semua yang terlibat dalam perjalanan ini, keluarga, rakan-rakan dan dedikasi dari pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua hal.  Semuanya bermula ketika saya masih lagi remaja dengan menceburi acara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi syarikat pengurusan acara yang menyediakan bukan sahaja perkhidmatan penerbitan acara serta melabur dalam peralatan showcase, dan kini, kami menawarkan perkhidmatan 360 darjah untuk pakej lengkap. Saya terharu melihat tahap yang telah kami kecapi, dengan sikap yang positif dan pasukan yang betul”, ujarnya.

Tahun 2024 menjadi permulaan baharu buat Hitman Group yang semakin menerajui industri pengurusan acara di negara ini dan apabila ditanya apakah perancangan seterusnya buat penggemar muzik.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page