December 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Manifestasi ‘The Real Cromok’, Juadah Roh Bersulamkan Semangat

Spread the love

Foto Kredit: Fendi Ghafar / Rozairi Yahya

Bagai dijanji oleh ‘The Real Cromok’ untuk memberikan kelainan menerusi konsert ‘The Real Cromok’ yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu, nyata dikotakan. Selain ‘mematerikan’ jiwa-jiwa’ fanatika metal adaptasi Cromok itu sendiri.

Cromok memulakan persembahan dengan lagu Memories yang merupakan antara lagu terbaik Cromok, menggegar pula dengan Final Ticking, terobses dengan Obsessed, dihujani dengan riff klasik Unicorn dan Stranger. Ini baru permulaan, bak kata “baru nak panas”. Video di layar skrin sentiasa dipaparkan sekaligus menghidupkan suasana konsert The Real Cromok.

Setiap set list akan dimulakan dengan video layar skrin yang berbeza yang mempaparkan temubual bersama individu yang diundang oleh Cromok. Video layar skrin seterusnya mempaparkan interview bersama Kamelia merupakan anak Arwah Din D’cromok atau Khairudin Muhammad dan interview bersama Tasneem yang merupakan anak Arwah Miji atau Tarmizi Mokhtar. Suasana bening seketika mengenang kembali dua figura yang berjaya menjenamakan Cromok.

Another You, sebuah lagu yang sering diingati oleh peminat Cromok dari dulu hingga kini. Karl dan Shah Sidious yang memainkan lagu ini secara akustik cukup membuatkan seluruh Zepp mengamati persembahan Cromok. Selepas berakhir lagu tersebut, Sam selaku vokalis dan bassis meminta khalayak sedekahkan al fatihah kepada Arwah Din dan Miji. Seperti di janjikan ‘Fallen Heroes’ yang diciptakan khas adalah ‘tribute’ buat Arwah Din dan Arwah Miji. Suasana Zepp kini hanya terdengar persembahan lagu baru Cromok, fans hanya mendengar sambil melihat paparan video mengenai sejarah awal Cromok bersama Arwah Din dan Arwah Miji. Meskipun ‘kental dan kerasnya’ jiwa metallers, namun tersingkap ‘halus’nya naluri seorang manusia.

Mat Puck juga merupakan individu terawal dalam penubuhan kumpulan Cromok di Australia.  Meskipun telah lama berada di luar negara, dialek kelantannya masih pekat. Khalayak kemudiannya disajikan ‘jamming session’ Ulek Mayang dan LaCrosse.

Peminat sekali lagi ‘dijamukan’ video interview yang dipaparkan di skrin besar, Man Kidal berkongsi kisah penglibatan beliau dalam penghasilan lagu Misery untuk album Forever in Time. Ketika lagu Misery dipersembahkan oleh Cromok bersama Man Kidal, jelas kedengaran sound original yang terdapat dalam lagu tersebut, apatah lagi ketika part solonya dimainkan oleh Man Kidal. Kehebatan beliau bermain gitar tidak perlu dipertikaikan. Cukup berkarismatik dan energatik menambahkan lagi aura pada lagu Seeding dan Farewell.

Hillary Ang merupakan anggota Cromok yang mengantikan Karl untuk menghasilkan beberapa album. Bermula terlibat dalam album Mean, Meaner, Meanest, Lagu Suffer menyapa seisi Zepp bagai tiada ruang untuk disenyapkan. Bagai tiada turning point, persembahan Cromok diteruskan dengan lagu Turning Point diikuti dengan lagu Enough?, PIP dan Modern.

Cromok seterusnya tampil dengan lagu Misty, lagu yang menyimpan banyak sejarah dari album Image of Purity kerana lagu ini adalah lagu yang melibatkan kesemua anggota asal Cromok termasuk Arwah Din dan Arwah Miji. Cromok turut mengundang Danny Harera yang pernah menjadi sound engineer mereka di Australia. 

Pentas kemudiannya berubah 360 darjah apabila Cromok mengundang Mat Puck, Hillary Ang dan Man Kidal bersama memberikan persembahan terakhir untuk konsert ‘The Real Cromok’.  Disinilah paduan, pekikan dan ‘gorengan’ gitar yang disenyawakan dengan petikan bass serta ketukkan dan hentakkan drum yang meribah lanskap muzik Cromok itu sendiri.

Lebih 2000 peminat yang membesar dengan melodi metal ‘acuan’ Cromok kini mampu menghela nafas panjang setelah selesai menyaksikan persembahan Cromok yang pastinya mengamit kenangan yang mungkin tidak akan dilupakan. Ada memori yang disimpan, ada kenangan untuk diabadikan. Al fatihah kepada mereka yang telah meninggalkan kita dan mereka yang kita rindukan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page