Manifestasi Puisi, Muzik dan Tradisi Dalam Festival Nada Danau
Oleh: Zizi Hashim
Kombinasi yang jarang-jarang berlaku antara penyanyi dan penyair akan dapat disaksikan pada 3 dan 4 November 2023 bertempat di Taman Negeri Royal Belum, Perak bersempena dengan Festival Nada Danau. Usaha ini mendapat sokongan padu dan kerjasama akrab dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Majlis Daerah Gerik dan Belum Rainforest Resort, tentunya bakal mendekatkan masyarakat kita untuk lebih memahami dan menghayati keunikan puisi, kesenian sastera dan keindahan bahasa serta budaya kebangsaan.
Menampilkan barisan artis-artis popular seperti Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Bell Ngasri sebagai tarikan utama yang bergabung tenaga bersama penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara 2000, Datuk Dr. Lim Swee Tin, penerima Anugerah Penyair Muda ASEAN 2015, Umar Uzair yang juga merupakan Pengarah Festival ini dan ramai lagi. Bukan itu saja, festival selama 2 hari ini juga turut mengadakan jualan seni kraf tempatan, pameran haiwan dan alam sekitar serta pelbagai elemen lain.
Menurut Uzair, “Idea ini dicetuskan sebagai titik penggerak kepada pengkarya untuk berfikir secara kreatif dan berani keluar dari kepompong keselesaan”. Kata nya lagi, “Saya pernah mengusahakan beberapa siri festival berskala besar sebelum ini, namun festival kali ini membawa cabaran dan harapan yang berbeza terutama dalam pengisian yang lebih padat, ampuh dan berimpak.” Sidang media pada petang 24 Oktober menyaksikan persembahan pembukaan dari Bah Bola, sekumpulan orang asli yang mengenengahkan irama asli kaum mereka diiringi tarian sewang Orang Asli dan deklamasi sajak oleh Datuk Dr. Lim Swee Tin. Turut berada di lokasi memberikan ucapan ialah YB Salbiah Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor dan Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Saufi Che Rusli, Pengarah Kanan Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Universiti Malaysia Kelantan.
Konsert muzikalisasi puisi ini bakal memperlihatkan sisi lain Bell Ngasri yang selama ini cukup dikenali sebagai pelawak, tetapi kali ini beliau akan bermonolog pada malam konsert itu nanti. “Saya amat berharap seni kontemporari dapat menampilkan sisi lain setiap artis agar ianya tidak terlalu klise.” Turut memeriahkan festival ialah kemunculan Deklamator Kebangsaan, Lin Haslinaz, Shirley Idris, Bah Bola dan Kumpulan Kesenian Universiti Malaysia Kelantan dalam persembahan kontemporari yang akan dikemudikan oleh Arja Lee dan Zack Kirana.
Kejayaan Konsert Puitika Lagenda di Pulau Langkawi pada Julai lalu telah memberi ilham kepada Uzair untuk menganjurkan Festival Nada Danau ini. “Saya bertemu dengan YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya) ketika konsert di Langkawi itu. Beliau membayangkan sebuah persembahan yang lebih besar dan berpendapat puisi dan sastera harus disebarkan lebih meluas dalam skala berimpak tinggi dan mencadangkan Taman Negeri Royal Belum sebagai lokasi acara.”
Uzair yang pada mulanya agak skeptikal dengan lokasi yang dicadangkan, bagaimana pun dapat membaca impian YB Timbalan Menteri yang mempunyai visi mempromosikan Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2025. “Saya yakin Festival Nada Danau bakal mendapat perhatian masyarakat sekaligus mengangkat usaha pengembangan sastera, puisi dan bahasa kebangsaan ke skala lebih tinggi dan lebih efektif.” ujar nya penuh harapan.
Uzair juga turut menyimpan impian mengadakan persembahan muzikalisasi di lokasi ikonik seperti Planetarium Negara, Taman Burung KL, Zoo Negara dan juga Dewan Filharmonik Petronas satu hari nanti. Meskipun sebelum ini siri muzikalisasi puisi berjaya diadakan tanpa nama besar, namun keberadaan seniman yang berpengaruh pastinya membantu menyebarluaskan sastera dan seni kepada pengunjung. Hasrat untuk melihat puisi muzik tradisi berdiri setaraf festival lain sehingga ke peringkat antarabangsa sangat dipuji dan harus diberi sokongan.
Jangan lepaskan peluang untuk mengenali syair, nazam, gurindam, sajak dan pelbagai cabang seni yang disampaikan dalam bentuk puisi, muzik dan tradisi ini. Pengunjung akan disajikan dengan pengisian Kampung Budaya, Kampung Puisi, Muzika Danauloka (DikirBarat dan Mak Yong) dan acara kemuncak iaitu Konsert Nada Danau. Festival Nada Danau bakal memberi pendedahan kepada pengunjung dalam memupuk pemeliharaan, kajian dan pemulihan alam semulajadi, keprihatinan terhadap sepsis terancam, pencemaran dan perubahan iklim dalam usaha menyokong WWF-Malaysia. Lock tarikh 3 dan 4 November, jom ramai-ramai berhibur dalam puisi muzik dan tradisi.