September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Mamatfest Kembali Tahun Ini Untuk Mempersembahkan Bakat Hebat Dalam Metal

2 min read
Spread the love

Peminat muzik metal di Malaysia akan mempunyai alasan untuk bergembira sekali lagi kerana pesta muzik irama metal terkenal Malaysia, Mamatfest, akan kembali diadakan di The Bee @ Publika Solaris Dutamas pada 1 Jun tahun ini (2024), bermula daripada pukul 3 petang pada hari tersebut.

Acara yang terkenal dengan persembahan kumpulan metal yang berbakat dan suasana meriah, menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat genre muzik metal yang menghadirinya. Tiket untuk acara tersebut juga boleh dibeli di pintu masuk kepada tempat acara itu berlangsung dengan harga RM75.

Barisan pesta tersebut pada tahun ini juga mempunyai pelbagai bakat yang mengagumkan, menampilkan lapan kumpulan dari seluruh dunia, di mana headliner pesta tersebut pada tahun ini adalah kumpulan Intestine Baalism yang merupakan sebuah kumpulan death metal dari negara Jepun, Infernal Execrator, sebuah kumpulan black metal dari Singapura dan lagenda death metal tempatan Malaysia, Humiliation.

Bakal menyertai mereka pada Mamatfest edisi tahun ini pula adalah kumpulan-kumpulan dari Malaysia seperti VIVIVI yang merupakan sebuah kumpulan black metal atmosferik dari Pahang, Argonist yang merupakan sebuah kumpulan death-thrash dari Pulau Pinang, Larrong yang merupakan sebuah kumpulan death metal lagenda dari Sarawak, Sapprah yang merupakan sebuah kumpulan death-thrash metal dari Terengganu dan juga Perpetual yang merupakan sebuah kumpulan grindcore lagenda dari Sabah.

Fliers rasmi untuk pesta Mamatfest edisi tahun ini…

Mamatfest, yang kini memasuki edisi ketujuh, berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan kepelbagaian dan bakat dalam persada muzik metal dan ianya juga merupakan acara muzik metal tradisi tahunan di Malaysia semenjak ianya pertama kali diadakan pada tahun 2016. Hanya pada tahun 2021 dan 2022 sahaja pesta itu tidak dianjurkan ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada masa itu.

Sejak pertama kali diadakan pada tahun 2016 juga, pesta muzik Mamatfest kekal sebagai ruji dalam kalendar peminat muzik metal, di dalam dan juga di luar negara Malaysia. Dianjurkan oleh label muzik Malaysia, Mamat Records, pesta itu bertujuan untuk meraikan genre muzik ekstrim dan menyediakan pentas untuk kumpulan-kumpulan Malaysia dan antarabangsa untuk menyerlah.

Nama Mamat, yang berasal daripada singkatan nama “Muzik Arus Metal Anak Tempatan,” juga mencerminkan komitmen pemilik nama tersebut untuk mempromosikan bakat tempatan dalam komuniti metal juga.

Susulan pengumuman tempat untuk acara pesta tahun ini oleh para penganjur, peminat muzik metal khususnya di Malaysia kini boleh menandakan kalendar mereka untuk 1 Jun 2024, kerana Mamatfest menjanjikan sebuah acara yang penuh dengan bunyian muzik metal yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan metal berkualiti yang dijemput dan didatangkan khas oleh para penganjur pesta tersebut.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page