Malik Choo Tampil Sisi Baharu, ‘Move On’ Sarat Mesej Positif
Penyanyi tempatan yang kian mencuri perhatian, Malik Choo, menandakan fasa baharu dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Move On, sebuah karya yang memperlihatkan sisi lebih matang, berani dan dinamik, baik dari segi muzik mahupun persembahan visual.
Menurut Malik, Move On hadir dengan susunan muzik yang berbeza berbanding karya terdahulu, khususnya menerusi penggunaan dram dan struktur lagu yang lebih berani.
“Bunyi keseluruhan lagu dan penggunaan dram membuatkan Move On tampil berbeza daripada apa yang pernah saya hasilkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di Drum Asia Studio, pada 16 Disember lalu.
Lebih istimewa, Move On juga menjadi single pertama Malik yang menampilkan koreografi penuh, sesuatu yang sudah lama diimpikannya sejak awal penglibatan dalam industri muzik.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk tampil dengan koreografi penuh sejak single Suka Kamu dan Apa Saja. Alhamdulillah, impian itu akhirnya dapat direalisasikan menerusi Move On,” katanya.
Single Move On diterbitkan oleh SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, menggabungkan elemen rap pop dan sentuhan R&B moden, sekali gus menonjolkan evolusi kreatif Malik sebagai artis serba boleh dalam landskap muzik kontemporari tempatan.
Dicipta dan diterbitkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Kidd Santhe, serta ditulis oleh Altimet a.k.a Mambang, Move On membawa mesej motivasi yang mengajak pendengar untuk berani melangkah ke hadapan dan melepaskan beban emosi masa lalu.
“Move On lahir pada satu fasa dalam hidup saya ketika saya belajar melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai. Ia bersifat peribadi, tetapi pada masa sama mewakili perasaan yang ramai pernah lalui,” jelas Malik.

Sentuhan Altimet sebagai penulis dan mentor memberi keseimbangan dari segi emosi dan struktur lagu, menjadikan karya ini ringan didengar namun tetap memberi kesan mendalam.
Malik memulakan perjalanan muziknya seawal 2009 sebagai DJ Kino, pengalaman yang banyak membentuk identiti seninya hari ini, termasuk keupayaan membaca tenaga penonton dan mengawal suasana persembahan.
Perjalanan itu turut disulami dengan beberapa kolaborasi penting, antaranya “Kita Jaga Kita” bersama Altimet yang mencatat lebih 10 juta tontonan di YouTube, “Lelaki Di Telefon” bersama Afieq Shazwan dengan 12 juta tontonan, serta “Ralit” bersama Tuju yang mendapat sambutan hangat.
“Ia satu perjalanan panjang, langkah demi langkah, penuh usaha dan pengorbanan. Saya bersyukur dengan setiap pengalaman yang membentuk diri saya hari ini,” katanya yang fasih bertutur dalam Kantonis, Melayu dan Inggeris.

Video muzik (MV) Move On yang diarahkan oleh Evan Lim menampilkan visual yang lebih tersusun dan berprestasi tinggi, diinspirasikan daripada gaya persembahan K-pop. Koreografi pula digarap oleh pereka tari profesional Meor Mukhris.
“Kami hanya ada seminggu untuk latihan sebelum penggambaran MV, tetapi ia sangat intensif dan berharga. Koreografi ini sesuatu yang saya sangat nantikan untuk dipersembahkan secara langsung,” kata Malik.
Move On merupakan sebahagian daripada inisiatif DKK Industri Muzik (Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0) yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM).
Ketua Pegawai Eksekutif SVLTAN Management, Yasmeen Zainal, merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan industri kreatif tempatan.
Sebagai penutup tahun 2025, SVLTAN Management turut merancang penganjuran sebuah mini showcase eksklusif, menampilkan persembahan koreografi dan muzik tersusun sebagai penanda aras fasa baharu perjalanan seni Malik Choo.
“Saya berharap Move On dapat menjadi teman dan motivasi buat mereka yang sedang melalui perubahan hidup. Selepas ini, saya mahu terus berkarya, fokus kepada persembahan langsung dan membina dunia muzik saya dengan penuh keyakinan,” akhirinya.
Single Move On boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 5 Disember 2025, manakala video muzik rasmi boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube VEVO @MalikChoo mulai 10 Disember lalu.
