December 5, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Malevolent Creation Rialitikan Mimpi Peminat Malaysia

Gambar oleh Papadin

Spread the love

**semua gambar adalah sumbangan Papadin

Legenda death metal Amerika, Malevolent Creation telah berjaya menggegarkan pentas Raja Laut Ballroom malam tadi dalam sebuah konsert yang pasti akan dikenang oleh peminat-peminat muzik keras yang menghadiri acara tersebut.

Acara yang bermula tepat jam 8 malam ini dibuka oleh persembahan kugiran death metal lagenda Malaysia, Sil Khannaz, yang turut memukau penonton dengan lagu-lagu terkenal mereka seperti “Sinner Burning Without Humanity”, “Santapan Terakhir Raja Bersiong”, “Catatonia” dan lagu terbaru yang menjadi kegemaran peminat mereka, “Mohing Asang”.

Vokalis Sil Khannaz, Jaie, mencuri perhatian apabila mengenakan hiasan kepala khas Dayak, satu penghormatan istimewa kepada suku kaum Dayak Borneo dan persembahan mereka juga mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Setelah Sil Khannaz menutup persembahan pembukaan, Malevolent Creation mengambil alih pentas. Mereka memulakan persembahan tanpa berlengah sebaik sahaja peralatan muzik mereka siap disediakan. Sorakan gemuruh dari 300 peminat yang hadir memenuhi ruang kecil tetapi padat itu menyambut kehadiran mereka, sebaik sahaja diumumkan oleh emcee acara, Akhiroth.

Malevolent Creation memukau peminat dengan menyajikan 14 lagu hebat sepanjang persembahan mereka. Lagu pertama yang dimainkan ialah Infernal Desire, diikuti oleh Living in Fear dan Blood of the Fallen, yang membuatkan penonton terus hanyut dalam suasana penuh tenaga.

Mereka meneruskan dengan Manic Demise dan Release the Soul, sebelum merancakkan pentas dengan lagu ganas seperti Mandatory Butchery dan Alliance or War. Lagu-lagu ini membangkitkan semangat penonton yang tidak berhenti bersorak dan beraksi di mosh pit.

Seterusnya, Slaughterhouse dan The Will to Kill dimainkan, diikuti oleh Bloodbrothers, sebuah lagu yang didedikasikan khas untuk mengenang vokalis asal mereka, Bret Hoffmann, yang telah meninggal dunia pada tahun 2018. Suasana menjadi lebih emosional apabila lagu ini dipersembahkan.

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu ikonik mereka seperti Eve of the Apocalypse dan Coronation of Our Domain. Dua lagu terakhir yang menjadi kemuncak malam itu adalah Multiple Stab Wounds dan Malevolent Creation, yang menutup persembahan dengan penuh epik.

Set senarai lagu ini jelas membuktikan kehebatan Malevolent Creation sebagai salah satu nama besar dalam dunia death metal, dan memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh peminat yang hadir.

Konsert ini dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, yang pada asalnya berhadapan cabaran apabila lokasi asal tidak dapat disiapkan tepat pada masanya. Namun, mereka berjaya mendapatkan Raja Laut Ballroom sebagai lokasi alternatif, yang walaupun lebih kecil dari venue asal, mampu menampung seramai 300 peminat setia. Tiket habis dijual, membuktikan sokongan padu peminat death metal tempatan.

Sehubungan itu, Talib Othman, ketua Rockstage Entertainment telah melahirkan rasa gembira atas kejayaan acara ini.

“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa dari peminat, bukan sahaja dari Kuala Lumpur tetapi juga dari seluruh Malaysia – Utara, Pantai Timur dan Barat, Selatan Semenanjung Malaysia, dan juga dari Sabah dan Sarawak.

“Terima kasih kerana diatas sokongan yang kami terima untuk acara ini, dan semoga acara-acara Rockstage Entertainment akan terus mendapat sokongan yang padu,” katanya apabila ditanya setelah selesainya acara tersebut.

Malevolent Creation, yang ditubuhkan pada tahun 1987, merupakan nama besar dalam dunia death metal dengan diskografi yang mengagumkan, termasuk album ikonik seperti The Ten Commandments dan Retribution.

Kehadiran mereka ke Malaysia adalah satu penghormatan besar buat peminat tempatan, memandangkan mereka dikenali sebagai salah satu perintis utama genre ini.

Dengan sokongan hebat yang diterima, Talib turut berjanji untuk mengadakan lebih banyak acara muzik yang hebat di Malaysia pada masa hadapan.

“Ini hanya permulaan. Sokongan kalian memberikan motivasi untuk kami terus maju!” katanya dengan penuh semangat.

Konsert ini juga membuktikan semangat muzik death metal di Malaysia masih membara, dan kejayaan ini pastinya menjadi inspirasi kepada penganjur dan peminat untuk memastikan genre ini terus hidup dan berkembang di tanah air.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page