“Malam Simfoni Luka” Tawar Tiket Harga Mampu Beli
For Revenge, Insomniacks & Midnight Fusic Janji Malam Penuh Emosi Di Megastar Arena 24 Januari 2026
Tiga kugiran popular serantau bakal menggoncang pentas dengan lautan emosi dan melodi jiwa dalam konsert “Malam Simfoni Luka”, yang dijadual berlangsung pada 24 Januari 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Gabungan tiga nama besar For Revenge dari Indonesia, Insomniacks, dan Midnight Fusic dijangka mencipta sebuah malam yang sarat dengan rasa cinta, luka dan harapan, mengangkat tema yang dekat di hati generasi muda masa kini.
Lebih menarik pihak penganjur Icon Entertainment turut menawarkan harga tiket yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu beli’ kerana ianya dijual dengan harga bawah RM300.
“Kita tawarkan tiket dengan harga di bawah RM300 disebabkan kita dapat ‘mereka’ (band) dengan harga yang cukup fleksibel, jadi saya rasa tidak perlu kami letak harga tiket mahal”, ujar Iman Tang ketika ditemui media sewaktu majlis sidang media pengumumkan konsert tersebut di St Giles Boulevard Hotel Kuala Lumpur, pada 6 November lalu.
“Meskipun harga yang ditawarkan cukup berbaloi, tidak semestinya peminat tidak mendapat ‘akses’ sistem bunyi mahupun pencahayaan yang tidak berkualiti. Icon Entertainment tetap memberikan kepuasan maksima buat penonton kerana ianya sudah menjadi kewajipan pihak penganjur”, katanya.
Menurut Iman Tang, Pengasas Icon Entertainment selaku penganjur, konsert ini direka untuk menyentuh jiwa dan memberi ruang penyembuhan melalui muzik.
“Kami mahu penonton bukan sekadar menonton, tetapi benar-benar merasai setiap emosi dalam lagu-lagu yang dipersembahkan. Malam Simfoni Luka ialah tentang luka, tentang bangkit, dan tentang bagaimana muzik mampu menyembuhkan,” tambahnya.
“Malam Simfoni Luka” bukan sekadar hiburan, tetapi perjalanan konsert ini digarap sebagai perjalanan emosi dan refleksi jiwa buat mereka yang menjadikan muzik sebagai tempat bercerita dan melepaskan beban.



For Revenge yang dikenali dengan aliran post-hardcore yang penuh tenaga dan lirik sarat makna menjanjikan persembahan penuh jiwa dan raw emosi.
“Kami cukup antusias untuk bertemu dengan peminat Malaysia yang cukup antusias dengan kami, apatah lagi yang sejak dari awal kemunculan kami mereka sentiasa menyokong kami”, ujar For Revenge secara maya.
“Bagi peminat yang pernah melalui kesakitan dan kehilangan, lagu-lagu mereka bukan sekadar muzik tetapi pengakuan hati yang disuarakan tanpa segan, ini lah waktunya untuk anda ‘melepaskan’ semua kelelahan tersebut”, ujar mereka mengakhiri sesi sidang media.
Sementara itu Insomniacks yang berorentasikan warna pop moden yang lebih ringan tetapi tetap menyentuh turut bernjanji akan mendendangkan lagu mereka yang “dekat di hati” sering menjadi suara kepada cinta remaja, rindu dan perjuangan mencari erti bahagia.
“InshaAllah kami akan memberikan ‘warna’ yang lebih menarik pada persembahan kali ini, meskipun kami pernah satu pentas dengan For Revenge satu ketika dahulu. Itu tidak bermakna kami membawakan tema yang sama. Sebaliknya untuk konsert ini sudah pasti ianya memberikan pengalaman yang berbeza” ujar Insomniacks.
Midnight Fusic yang senada dengan Insomniacks turut memberikan bayangan bahawa mereka akan tampil berbeza.
“Kami bakal ‘menyihir’ setiap penonton pada malam tersebut dengan gaya tersendiri. Bunyi dreamy yang melankolik bakal membuat penonton hanyut dalam nostalgia bersama fantasi”, ujar mereka.

Bagi memperkukuh pengalaman, penonton bakal disajikan dengan susunan muzik eksklusif, pencahayaan sinematik dan visual bertema yang membawa naratif setiap lagu ke dimensi baharu.
Lebih menarik, segmen kolaborasi khas antara ketiga-tiga kumpulan hanya akan dipersembahkan pada malam itu — menjadikan ia pengalaman eksklusif yang tidak akan diulang di mana-mana pentas lain.
Tiket Malam Simfoni Luka akan mula dijual pada 14 November 2025 menerusi www.ticket2u.com.my.

