Malam Laguan Puisi: Serunai Kata, Melodi Jiwa – Puisi Bangkit dalam Gema Irama

Teks oleh: Sakka Emwai
Dalam pancaran lembut sinar rembulan yang seakan-akan memberi restu, Kuala Lumpur menjadi pentas bagi sebuah peristiwa agung yang bukan sekadar mencipta sejarah seni, tetapi turut merangkai keindahan muzik dan puisi dalam satu persembahan bernuansa klasik serta bertatahkan estetika sastera. Malam Laguan Puisi, yang berlangsung di Auditorium Shantanand, Temple of Fine Arts, Brickfields, tidak hanya sekadar sebuah acara seni, tetapi satu perayaan bagi jiwa-jiwa yang mendamba keindahan bahasa dan seni suara.
Dalam hamparan pentas yang dihiasi kilauan lampu syahdu, Aqasha, Azizul Hakim, Ayu Damit, dan Leaism tampil dengan kelunakan suara, memugar puisi-puisi agung Sasterawan Negara dengan nada yang menyusup jauh ke lubuk hati. Bait-bait kata yang pernah tertulis dalam tinta para cendekiawan kini mengalun dalam bentuk melodi, menambah nyawa kepada rangkap-rangkap yang selama ini hanya dibaca dalam keheningan. Antara puisi yang diberi nafas baharu termasuk Jentayu dan Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang, adaptasi dari karya Dato’ Usman Awang dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Tidak cukup dengan itu, lapan lagu baharu turut mewarnai malam yang penuh makna ini, setiap satu daripadanya dicipta dengan ilham dari puisi sasterawan negara, disusun dengan rapi agar nilai puitisnya tetap terpelihara, sekaligus memberikan suatu pengalaman yang sukar dilupakan. “Kata-kata itu bukan hanya untuk dibaca, tetapi untuk dihayati dan dinyanyikan”, begitulah gagasan yang ingin disampaikan melalui acara ini.
Pengarah projek, Sham Cairel, dengan penuh kesungguhan menzahirkan impian untuk membawa muzik dan puisi ke tahap lebih tinggi. Meskipun berdepan dengan kekangan dana yang menghalang hasrat untuk menggandingkan lagu-lagu puisi ini dengan iringan orkestra penuh, beliau tetap gigih dalam memastikan keindahan karya ini tidak luntur.

Maka, dengan sentuhan magisnya, gubahan melodi dan susunan muzik disempurnakan sendiri olehnya, menjadikan puisi yang asalnya bertinta kini bertaut dalam ritma yang mendayu-dayu. Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perjalanan spiritual ke dalam makna kehidupan, meresapkan warisan sastera kepada jiwa pendengar yang semakin dahagakan seni yang luhur.
Selain nyanyian, pentas turut digemakan dengan suara pemuisi yang membawa roh kepada baris-baris kata dalam bentuk deklamasi yang memukau. Syukri Abdullah, Wan Yusof, Intan Norsaina, Dr. Ayudez Zurainah, dan Azree Arifin berdiri megah, menyampaikan puisi dengan penuh semangat, seolah-olah meniupkan kehidupan baru kepada setiap rangkap yang dizahirkan.

Di tengah-tengah kebangkitan muzik popular yang sering menenggelamkan estetika bahasa, Malam Laguan Puisi hadir sebagai sebuah benteng kukuh yang mempertahankan martabat sastera. Di sini, kata-kata bukan sekadar suara kosong yang berlalu, tetapi gema yang meninggalkan kesan abadi dalam sanubari mereka yang mendengar.
Acara ini bukan sekadar malam penghormatan kepada puisi, tetapi sebuah manifestasi harapan buat generasi mendatang. Sham Cairel membayangkan suatu hari nanti, bait-bait puisi yang dialunkan dalam melodi ini akan menjadi sebahagian daripada budaya rakyat, dinyanyikan di bibir masyarakat sebagai satu legasi seni yang terus hidup dalam denyut nadi zaman.

Bagaimana mungkin kita lupa, bahawa puisi adalah rakaman suara bangsa, refleksi pemikiran, dan cerminan sejarah? Di pentas ini, ia bangkit dalam simfoni indah, mengingatkan kita bahawa sastera bukanlah sekadar warisan, tetapi sebuah nyanyian jiwa yang tidak pernah mati. Malam Laguan Puisi telah membuktikan bahawa bahasa itu nyawa, dan seni itu nadinya.