Maksim Mrvica Kembali Ke KL Dengan Konsert World Tour Segmenti

Maksim Mrvica, pemain piano ‘classical crossover’ terkenal, bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi siri jelajah terkininya. Dikenali dengan gaya permainan yang penuh tenaga dan virtuoso, Maksim akan menghiburkan peminat di Mega Star Arena, KL esok (12 Feb) pada jam 8.30 malam dalam konsert anjuran Lo-Fi Entertainment, Maksim World Tour Segmenti.
Ditemani orkestra, Maksim akan mempersembahkan himpunan lagu dari album terbaharunya, Segmenti, yang menampilkan gabungan unik antara muzik klasik dan moden. Repertoirnya kali ini merangkumi variasi karya legenda ABBA dan Queen, selain karya agung komposer klasik seperti Chopin, Prokofiev, dan Tchaikovsky.

Pianis kelahiran Šibenik, Croatia ini mula bermain piano pada usia sembilan tahun. Walaupun menghadapi cabaran peperangan ketika remajanya, semangatnya terhadap muzik tidak pernah luntur. Beliau menerima pendidikan klasik di Akademi Muzik Zagreb sebelum melanjutkan pelajaran ke Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest dan Konservatori Rusia Alexander Scriabin di Paris.
Dikenali dengan teknik permainan pantas dan penuh ekspresi, Maksim mampu memainkan sehingga 16 nota sesaat. Antara karya terkenalnya termasuk Croatian Rhapsody, serta rendisi luar biasa Flight of the Bumblebee dan runut bunyi filem ikonik seperti Pirates of the Caribbean, Game of Thrones, dan Mission Impossible.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan menakjubkan ini boleh mendapatkan tiket di www.ticketingtix.com pada harga RM888 (VIP), RM688 (CAT 1), RM488 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4). Untuk maklumat lanjut, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (www.instagram.com/lofi.entertainment) dan Facebook (www.facebook.com/lofi.entertainmentkl).