March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

MAK #SALAMDARISYURGA”, Angkat Kasih Ibu yang Tiada Bernoktah

Spread the love

Ada filem yang ditonton untuk hiburan, dan ada pula filem yang membuatkan penonton pulang dengan dada berat serta fikiran melayang jauh. Mak #SalamDariSyurga jelas tergolong dalam kategori kedua.

Sesi pra-tonton yang berlangsung pada 13 Januari lalu  di TGV One Utama menjadi bukti awal kekuatan naskhah arahan Hj. Hafiz Nafiah ini. Bukan dengan jeritan emosi atau dramatik berlebihan, sebaliknya melalui penceritaan yang perlahan, jujur dan dekat dengan realiti kehidupan seharian.

Sejak babak pembukaan, penonton dibawa menyelami dunia seorang anak yang terperangkap antara tuntutan hidup, kesilapan masa lalu dan bayang-bayang kasih seorang ibu yang tidak pernah pudar. Ia sebuah kisah tentang kehilangan, tetapi lebih penting, tentang apa yang sering ditinggalkan kata-kata yang tidak sempat diucap dan doa yang tidak pernah terhenti.

Menurut Azman Ahmad Penerbit dan Pelakon, Mak #SalamDariSyurga lahir daripada pemerhatian terhadap kehidupan sekeliling yang jarang diberi ruang dalam filem arus perdana.

“Ramai antara kita hidup dalam kesibukan sehingga lupa menghargai perkara paling dekat. Filem ini cuba mengingatkan semula, tanpa mengajar atau menghukum,” katanya.

Watak ‘mak’ dalam filem ini bukan digambarkan sebagai figura sempurna, sebaliknya seorang ibu biasa dengan kelemahan, keikhlasan dan kasih yang tidak bersyarat. Lakonan Datuk Fauziah Nawi menjadi nadi emosi cerita, disokong mantap oleh Azman Ahmad dan Izzy Reef yang berjaya menghidupkan konflik dalaman seorang anak lelaki yang bergelut dengan masa silamnya.

Apa yang menarik, filem ini tidak terburu-buru mengejar klimaks. Setiap babak diberi ruang bernafas membiarkan penonton menyerap emosi satu demi satu, seolah-olah mengajak mereka mengingati kembali ibu masing-masing, sama ada yang masih ada atau telah pergi. Keputusan untuk mengekalkan nada sederhana dan tidak sensasi adalah satu pilihan yang disengajakan.

“Kami mahu penonton keluar dari pawagam dengan perasaan yang jujur. Jika ada yang terdiam, tersenyum atau menitiskan air mata, itu sudah cukup bagi kami,” ujarnya lagi.

Dari sudut teknikal, Mak #SalamDariSyurga menampilkan sinematografi yang tenang dan kemas, dengan muzik latar yang digunakan secara minimal tetapi tepat pada masanya. Ia tidak cuba mencuri perhatian, sebaliknya menyokong emosi yang sedang dibina.

Lebih daripada sekadar kisah ibu dan anak, filem ini membawa persoalan tentang penyesalan, peluang kedua dan makna pulang ke rumah sama ada secara fizikal atau emosi. Ia juga mengingatkan bahawa ada doa yang terus hidup, walaupun insan yang mendoakannya telah tiada.

Mak #SalamDariSyurga  terbitan AA SuccessPictures Sdn Bhd & Awal Muzik akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari ini. Bagi penonton yang menghargai filem berteras nilai kekeluargaan dan penceritaan yang jujur, naskhah ini mungkin bukan sekadar tontonan hujung minggu, tetapi satu peringatan halus tentang kasih yang sering kita abaikan kasih seorang ibu


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page