December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Majlis Tertinggi Rockqueen”: Ella Bawa Misi Kemanusiaan ke Stadium Nasional

Spread the love

Konsert mega “Majlis Tertinggi Rockqueen” bukan sekadar pentas meraikan kehebatan Ella sebagai Ratu Rock negara, sebaliknya tampil dengan kelainan menerusi inisiatif undian amal yang disertakan bersama setiap pembelian tiket.

Suami Ella, Kapten Azhar Ghazali, mengumumkan pendekatan unik itu yang menyaksikan RM2 daripada setiap pembelian tiket akan disalurkan kepada salah satu daripada tiga pertubuhan terpilih, berdasarkan undian wajib peminat. Undian tersebut diibaratkan sebagai “pilihan raya mini” yang membawa tiga tema utama: Peace, Love & Rindu.

Bagi tema Peace, sumbangan akan disalur kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia; tema Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang sudah lama mempunyai hubungan rapat dengan Ella sejak 1994; manakala tema Rindu akan menguntungkan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) yang aktif membantu para penggiat seni.

Azhar berkata inisiatif itu bukan hanya untuk memeriahkan penganjuran konsert, tetapi sebagai kesinambungan misi Ella menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.

“Kami mahu bukan sekadar hiburan, tetapi peluang untuk masyarakat bersama-sama menyumbang. Hadirlah bukan hanya sebagai penonton, tetapi sebagai penyumbang,” katanya sambil menambah bahawa jumlah kutipan setiap tabung akan diumumkan pada malam konsert.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, menegaskan konsert yang berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu disusun sebagai konsert untuk rakyat dengan harga tiket mampu milik namun tetap mengekalkan standard produksi bertaraf arena.

“Konsert kali ini, antara intinya adalah kami ingin ‘give back to the people’. Sebab itu kami pilih lokasi besar dengan harga tiket murah, tetapi pengalaman tetap luar biasa,” katanya pada sidang media di Stadium Bukit Jalil pada 3 Disember lalu.

Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen ini turut menjadi antara projek terbesar dalam kerjaya Ella, yang bakal mencecah usia 60 tahun pada tahun hadapan. Ella menyifatkannya sebagai legasi baharu dalam perjalanan seni beliau.

“Majlis Tertinggi Rockqueen adalah gerakan yang mahu menyebarkan ‘Peace, Love & Rindu’. Ini impak yang saya ingin tinggalkan,” katanya.

Jualan tiket akan dibuka bermula Isnin, 8 Disember, jam 3 petang melalui laman rasmi www.hitmanlive.com. Konsert ini turut mendapat sokongan Perbadanan Stadium Malaysia, rangkaian radio Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM, serta pelbagai rakan media lain.

Dengan gabungan misi amal, harga tiket berpatutan dan persembahan mega berskala nasional, “Majlis Tertinggi Rockqueen” dijangka menjadi antara detik paling bersejarah dalam karier Ella bukan hanya sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai ikon yang mengangkat nilai kemanusiaan ke pentas perdana.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page