Majlis Iftar Raya 2024 Bersama Artis Rusa Music dan MVM
Oleh: Zizi Hashim
Foto Kredit : Maestro Media / Rusa Music
Dengan visi untuk mengeratkan silaturrahim dan menzahirkan perhargaan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan besar dan tak ternilai buat artis-artis naungan mereka, telah di adakan baru-baru ini sebuah Majlis Iftar Raya Rusa MVM Padu 2024 pada 1 April 2024 bertempat di Geno Hotel, Subang Jaya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana cukup meriah itu dihadiri oleh rangkaian artis-artis di bawah naungan Rusa Music dan MVM Production seperti Sufian Suhaimi, Sarah Suhairi, Floor 88, Farez Adnan, Amy Ukays, Syafiq Farhain, Yamani Abdillah, Namie, Alfie Zumi dan ramai lagi. Kelihatan turut hadir pada malam itu ialah sekumpulan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong yang juga bertuah menerima hadiah duit raya dari pihak penganjur.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa bersama-sama sebelum Pengacara Majlis pada malam itu iaitu Kelly Azman menghiburkan hadirin dengan lagu pembukaan berjudul “Suara Lebaran Kita”. Kelly Azman yang segak mengenakan busana baju melayu putih lengkap bersampin, telah mengajak artis-artis berbual dan beramah-mesra di tepi sudut pentas sebelum masing-masing menyampaikan lagu raya mereka. Hebatnya hampir kesemua artis naungan Rusa Music dan MVM Production memiliki lagu raya mereka tersendiri.
Seperti tahun sebelumnya, kehadiran bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh kesucian dan kegembiraan ini disambut oleh artis-artis Rusa Music dan MVM dengan menyediakan ‘hadiah’ buat para peminat mereka demi menyambut kedatangan Syawal yang menjelang kelak. Majlis pada malam itu dihidangkan dengan lagu-lagu bertemakan puasa, hari raya serta selawat / zikir yang cukup merdu.
Lagu “Raya Ya Ya Ya” ciptaan komposer Achoi Floor 88 dan lirik ditulis oleh Zai Hamzah telah berkumandang dendangan barisan artis iaitu Namie, Fariq, Aidilia Hilda, Keka Nizam dan Qistina Khaled. Lagu raya baru berentak catchy yang menceritakan tentang kelulusan permohonan cuti raya ini turut dihiasi dengan muzik video raya di skrin layar lebar mengiringi persembahan di atas pentas. Sesuai dengan tema konsep Glam Raya, rata-rata yang hadir mengenakan busana raya yang cantik, glamour dan berwarna-warni.
Perayaan hari raya Aidilfitri tidak lengkap jika tidak dihiasi dengan alunan lagu raya. Pelbagai genre lagu raya penulisan baru, termasuk penampilan solo, gabungan duet, penampilan trio dan persembahan berkumpulan dari para artis Rusa dan MVM dipersembahkan. Haziq Rosebi naik ke pentas dan mengalunkan lagu “Ragam Bersulam” mempunyai melodi yang sedap, sing-along dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Penampilan Sufian Suhaimi paling dinanti-nantikan dengan lagu baru raya berjudul “Jom Pulang Raya” ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen. Sufian Suhaimi dengan vokal signaturnya menghiburkan hadirin dengan alunan suara dan gaya tersendiri. Lagu viral dan kontroversi “Cha Kuca Raya 2024” dihasilkan dalam versi raya yang baru turut dipersembahkan pada malam itu. Lagu dan lirik sepenuhnya ciptaan Amy Ukays dinyanyikan bersama Farez Adnan, memperlihatkan muzik video riang-ria raya menghiasi kemeriahan persembahan pentas. Kebanyakan penciptaan lagu-lagu raya masakini lebih mengfokuskan pada lagu berentak rancak dan bergembira, mengajak semua merasakan vibes raya yang sepatutnya diraikan bersama dalam suasana ceria.
Paling menarik perhatian ialah ketika persembahan duet dari Syafiq Farhain dan Yamani Abdillah menyampaikan lagu berjudul “Rindu Ayah Bonda.” Satu-satunya lagu yang bernuansa klasik mewujudkan suasana syahdu menjelang Syawal apabila terkenangkan ayah dan bonda. Berbeza dengan lagu-lagu raya baru yang lain, kali ini terkesan emosi sedih dan terharu melalui lirik lagu dendangan Yamani Abdillah yang tidak dapat lari daripada mengingatkan kita kepada tonasi nada suara ayahnya sendiri, Jamal Abdillah. Begitu juga dengan keunikan vokal Syafiq Farhain yang saling tak tumpah seperti suara Allahyarham Saleem Iklim. Kedua-duanya segak berbusana melayu dan melantun vokal merdu diperdengarkan kepada semua yang hadir.
Produksi kolaborasi dari Rusa Music, MVM Production dan Padu Records diharapkan dapat memeriahkan lagi industri muzik untuk lebaran kali ini, selain memeriahkan suasana menyambut Aidilfitri di seluruh Malaysia. Antara lagu-lagu raya lain yang menarik perhatian keluaran keluarga besar Rusa, MVM dan Padu ialah dendangan Apak Famili berjudul “Seloka Suasana Raya” ciptaan Harry Khalifah, “Sinar Aidilfitri” dari Projector Band, “Esok Dah Raya” dari Bito Beyto, “Retak Hatiku Raya” nyanyian Iera Milpan, “Lebaran Indah” oleh Beby Acha, “Nikmat Raya” duet bersama oleh Damia & Ammar Nobita dan “Peluang Raya” duet dari Kit Shafiq dan Ayda Adlyna.
Kesemua lagu-lagu ini boleh diperdengarkan di semua pelantar penstriman digital mulai 25 Mac 2024. Keluarga besar Rusa Music, MVM Production dan Padu Records meletakkan harapan yang menggunung tinggi semoga lagu-lagu raya terbaru keluaran mereka dapat diterima ramai dan memeriahkan lagi Aidilfitri umat islam sekelian.