Maher Zain Umum Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, Termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Singapura

Setelah enam tahun menanti, Maher Zain akhirnya kembali ke pentas Asia Tenggara melalui Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 yang akan berlangsung Ogos ini di tiga lokasi utama: Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu.
Diumumkan secara rasmi melalui media sosial dan disahkan dalam sidang media pada 11 Jun lalu yang turut dihadiri oleh pihak penganjur, Yayasan Tengku Abdullah (YTA), konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik rohaniah paling dinanti tahun ini. Maher Zain, artis Sweden berdarah Lubnan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti “Insha Allah”, “Baraka Allahu Lakuma” dan “Thank You Allah”, bakal mempersembahkan rangkaian karya baharu serta lagu kegemaran peminat yang telah menaikkan namanya ke persada dunia.

Menurut Maher Zain dalam satu sidang media secara Zoom dari Turki, “Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya, mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia.” Kenangan manis yang tercipta sejak awal kerjayanya di sini menjadi antara sebab utama pemilihan Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sebagai lokasi utama jelajah.
Jadual penuh konsert adalah seperti berikut:
- 16 Ogos 2025 – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
- 21 Ogos 2025 – The Star Theatre, Singapura
- 23 Ogos 2025 – Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu
Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan lebih 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain kekal sebagai figura penting dalam genre muzik rohaniah dan kontemporari. Antara lagu terbaharu yang bakal dibawakan termasuk “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen”, selain penampilan istimewa yang mungkin mengejutkan peminat.

Menurut Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif dari YTA, “Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas.”
Harga tiket dan tarikh jualan:
- Kuala Lumpur & Kota Kinabalu: Bermula dari RM158
- Singapura: Bermula dari SGD78
- Jualan Tiket Pra-Daftar: 12 Jun 2025 (12:00 tengah hari – 11:59 malam)
- Jualan Tiket Awam: Bermula 13 Jun 2025, 12:00 tengah hari

Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Happymoon, dengan kerjasama Awakening Music sarat dengan mesej perpaduan dan kedamaian yang terpancar dalam setiap lirik dan melodi, Maher Zain terus membuktikan muzik mampu menyatukan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
“Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun, kami kembali untuk anda, mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan.”ujar beliau menutup sesi sidang media.